PAFA bubar Perak FC II

Sebahagian pemain Perak FC II yang beraksi dalam saingan Liga Premier musim ini. - Foto Perak FC
Sebahagian pemain Perak FC II yang beraksi dalam saingan Liga Premier musim ini. - Foto Perak FC
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) membuat keputusan untuk membubarkan Perak FC II selepas skuad utama - Perak FC tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.

Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohamad berkata, pihaknya kini mahu memberikan fokus kepada Perak FC untuk bangkit dalam tempoh dua tahun sebelum kembali ke pentas Liga Super.

Muhammad Yadzan
Muhammad Yadzan

“Setakat ini dalam perbincangan awal pihak pengurusan, Perak FC II terpaksa kita bubarkan. Tak boleh buat apa dah, nak tukar semula nama jadi PKNP FC pun tak ada dalam perancangan.

“Fokus kami sekarang adalah untuk mengharungi Liga Premier mulai musim depan dan juga layak ke Piala Malaysia. Kalau rezeki boleh melangkau semula (ke Liga Super)... alhamdulillah.

“Pada masa sama, kami nak fokus untuk pasukan bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) dan juga skuad pembangunan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Terdahulu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan hanya 10 pasukan bakal beraksi dalam saingan Liga Premier 2022, sekali gus menyaksikan Perak FC II disingkirkan ke pentas amatur - Liga M3.

Berdasarkan peraturan dalam Manual Liga Malaysia (Liga-M), pasukan Parent Team (Perak FC) dan Reserve Team (Perak FC II) tidak boleh bersaing dalam satu kejohanan yang sama.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai hala tuju barisan pemain Perak FC II, Mohamad Yadzan berkata, ada dalam kalangan mereka yang akan diserapkan menyertai Perak FC selain ada juga yang dilepaskan.

“Namun, perkara ini akan dibincangkan lagi. Cuma kami tak akan ada sampai dua tiga pasukan, belanjanya besar. Lagipun kami dah tetapkan kriteria dan siapa (pemain) yang bagus akan pergi ke Perak FC,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!