Murid 11 tahun cipta makanan haiwan, menang anugerah antarabangsa

Maryam merangkul tiga emas dalam pertandingan inovasi dan reka cipta di Toronto, Kanada.
Maryam merangkul tiga emas dalam pertandingan inovasi dan reka cipta di Toronto, Kanada.
A
A
A

KUANTAN - Seorang murid dari Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila merangkul tiga pingat emas dalam pertandingan inovasi dan reka cipta yang berlangsung di Toronto, Kanada, bulan lalu.

Maryam Muzamir, 11, mencipta inovasi sejenis makanan haiwan baharu yang diperbuat daripada kulit udang dan siput sedut dengan menamakan produk itu Yam 2.0 dalam pertandingan sempena The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021.

ICAN 2021 adalah pertandingan inovasi dan rekacipta terbesar di benua Amerika Utara yang diadakan secara dalam talian pada 28 Ogos lalu berikutan faktor pandemik Covid-19.

Bapanya, Profesor Madya Ts Dr Muzamir Hassan tidak menyangka Maryam menjadi pemenang dalam pertandingan itu.

Menurutnya, kegigihan Maryam selama ini menghasilkan inovasi dan rekacipta berbaloi apabila mendapat pengiktirafan bukan sahaja dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa.

"Maryam memenangi pelbagai anugerah pada tahun ini dan tahun lalu untuk produk Yam 2.0. Jadi, melalui pencapaian itu saya meyakinkan Maryam untuk membawa produk inovatifnya ke pentas antarabangsa.

"Usahanya berhasil apabila berjaya memenangi tiga pingat emas di İCAN 2021 dan Maryam mengalahkan 600 peserta lain dari 70 negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Maryam menunjukkan makanan haiwan hasil inovasinya daripada kulit udang dan siput sedut yang dinamakan Yam 2.0.
Maryam menunjukkan makanan haiwan hasil inovasinya daripada kulit udang dan siput sedut yang dinamakan Yam 2.0.

Bercerita lanjut mengenai anak sulung daripada dua beradik itu, Muzamir berkata, idea itu timbul ketika mereka sekeluarga mengunjungi sebuah restoran makanan laut di Kuantan.

Menurutnya, Maryam melihat banyak bahan buangan dari restoran terutama kulit atau cengkerang makanan laut.

Tambahnya, selepas membuat pemerhatian, Maryam membaca artikel mengenai kerang makanan laut mengandungi 'chitin' yang baik untuk dijadikan makanan haiwan.

"Bermula dari situ Maryam merancang inovasi dengan mencipta ramuan sendiri sehingga usahanya membuahkan hasil.

"Pada bulan Jun tahun lalu, kami berbincang dengan pengurus kedai makanan laut untuk memberikan kulit udang dan cengkerang kepada kami daripada membuangnya. Pengurus makanan bersetuju, dan saya bertekad untuk berjaya," katanya.

Muzamir yang merupakan pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata, kebolehan serta keistimewaan anaknya dalam bidang inovasi dan rekacipta dapat dilihat seawal usia empat ke lima tahun.

Menurutnya, Maryam tidak mewarisi kemahirannya di dalam kejuruteraan awam sebaliknya memiliki kebolehan untuk merekacipta sesuatu melalui pengamatan dan kelebihan di sekelilingnya.

Tambahnya, dia dan isteri, Noor Nazihah Ma’amor, 35, suka membelikan mainan lego ketika Maryam mula berusia empat tahun.

Muzamir dan isteri sentiasa memberi semangat untuk Maryam meneruskan minatnya.
Muzamir dan isteri sentiasa memberi semangat untuk Maryam meneruskan minatnya.

"Dari situ kami boleh nampak Maryam mempunyai potensi tinggi apabil boleh menghasilkan rekaan lego bukan hanya mengikut contoh diberikan.

“Maryam anak yang pendiam namun saya dan isteri nampak kebolehannya dan dikembangkan ketika di sekolah melalui subjek Sains. Kemampuannya mendapat perhatian dan sokongan daripada guru dan pihak sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Muzamir berkata, Maryam mencipta kejayaan sejak di Tahun Empat dan sudah memenangi tiga emas dalam pertandingan inovasi dan rekacipta peringkat kebangsaan.

“Kami akan terus memberi dorongan dan semangat untuk dia mencipta kejayaan dan mengejar cita-cita menjadi profesor dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!