Dua nyaris maut pacuan empat roda rempuh pembahagi jalan
SUNGAI BULOH - Dua individu nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas ke dalam longkang di Kilometer 426.5 Lebuh Raya Utara Selatan, awal pagi Sabtu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 8.59 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 9.21 pagi.
"Sepasukan anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kejadian melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berumur 44 tahun bersama seorang penumpang berumur 43 tahun dipercayai telah melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas ke dalam longkang berhampiran," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, pemandu berkenaan berjaya keluar sebelum bomba tiba di lokasi.
"Bagaimanapun penumpang kenderaan pacuan empat roda tersebut dipercayai tersepit.
"Bomba kemudiannya menjalankan kerja mengeluarkan mangsa dan mangsa didapati mengalami cedera ringan," katanya.
Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!