Guardiola tidak akan minta maaf
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menegaskan, dia tidak akan meminta maaf kerana mendesak penyokong untuk hadir beramai-ramai ke Etihad bagi memberikan sokongan kepada skuad kendaliannya bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), berdepan Southampton, pada Sabtu.
Beliau menyatakan bukan bertujuan untuk mendesak penyokong supaya hadir ke stadium, tetapi sekadar merujuk kepada jumlah kerusi yang kelihatan banyak kekosongan pada aksi Liga Juara-Juara berdepan RB Leipzig, pada Rabu.
“Ada saya kata, selepas perlawanan saya kecewa kerana stadium tidak penuh? Apa yang saya katakan adalah kami perlukan sokongan.
“Tidak kiralah berapa ramai penonton yang datang tetapi saya menjemput mereka untuk menyaksikan perlawanan kerana kami perlukan sokongan daripada mereka.
“Oleh itu, saya tidak akan meminta maaf atas kenyataan saya. Apa pun, saya gembira kerana mendapat sokongan berkenaan ketika berdepan Leipzig tempoh hari,” katanya.
Untuk rekod, pada aksi peringkat Kumpulan A itu, City menewaskan Leipzig 6-3 dan bakal berdepan sekali lagi dengan wakil Jerman itu pada 8 Disember kelak.
Seramai 38,000 penonton dianggarkan hadir bagi menyaksikan perlawanan di Etihad berbanding kapasiti stadium yang mampu memuatkan sehingga 54,000 penonton.
Guardiola membuat kenyataan sedemikian merujuk kepada jumlah kehadiran yang disifatkan tidak sepadan dengan jumlah kapasiti stadium.
Berikutan jumlah kehadiran berkenaan, Guardiola telah membuat kenyataan agar lebih ramai penonton dapat hadir bagi menyaksikan aksi berdepan Southampton pada Sabtu.
Justeru Guardiola menempelak dakwaan Setiausaha Am Kelab Penyokong, Kevin Parker yang mendakwa terkejut dengan kenyataannya yang meminta penyokong untuk hadir beramai-ramai bagi menyaksikan perlawanan berdepan Southampton.
“Saya tak pernah duduk di sini (tempat duduk penonton) dan bertanyakan kenapa mereka (penonton) tidak datang.
“Jika anda tidak dapat datang, anda tidak perlu datang. Oleh itu, saya tidak akan meminta maaf kepadanya (Parker),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!