Omar dan Hana jadi pilihan Paul Pogba

Paul Pogba memuat naik fotonya berdiri di depan televisyen menonton siri animasi Omar dan Hana. - Foto IG Paul Pogba.
Paul Pogba memuat naik fotonya berdiri di depan televisyen menonton siri animasi Omar dan Hana. - Foto IG Paul Pogba.
A
A
A

POPULARITI siri animasi kanak-kanak, Omar dan Hana mencipta fenomena dan sejarahnya tersendiri.

Corak penceritaan siri animasi Islamik itu paling mudah untuk menarik perhatian golongan kanak-kanak.

Namun, dalam masa sama, Omar dan Hana yang ditayangkan di Astro juga turut mendapat perhatian golongan dewasa di segenap pelusuk dunia.

Ini terbukti melalui perkongsian pengalaman pemain bola sepak ternama dunia, Paul Pogba.

Di sebalik kelincahannya di padang, pemain berusia 28 tahun yang bermain untuk Kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United itu juga memilih menonton Omar dan Hana bersama keluarganya.

Di akaun sosial medianya, Pogba memuat naik foto beliau sedang berdiri di depan televisyen sambil memegang alat kawalan jauh dan menonton siri animasi itu.

“Sesi menonton filem bersama keluarga di rumah,” tulis Pogba dalam bahasa Perancis.

Sehingga pukul 11.30 pagi tadi, hantaran Pogba itu mendapat lebih 400,000 tanda suka dalam kalangan 48.1 juta pengikutnya di akaun Instagram peribadinya.

Artikel Berkaitan:

Bahkan, lebih 2,500 komen yang rata-ratanya menyatakan kegembiraan mereka kerana pemain bola sepak tersohor itu memilih menonton siri animasi dari Malaysia itu.

Omar dan Hana yang dihasilkan oleh syarikat produksi dari Malaysia, Digital Durian juga dikenali sebagai siri animasi Islamik kanak-kanak nombor satu.

Animasi popular ini mendidik golongan kanak-kanak mengenai gaya hidup seharian berlandskan syariah menerusi pendekatan kontemporari.

Mesej-mesej positif juga dikongsi melalui nyanyian lagu-lagu serta lakonan Omar dan Hana itu sudah ditayangkan di lebih 50 buah negara serta mencatat tontonan sehingga 3.2 bilion orang. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!