Buaya tembaga bersidai di Sungai Linggi video lama

Video yang dimuat naik memaparkan buaya tembaga kelihatan bersidai di Sungai Linggi. (Kanan: Video buaya bersaiz besar di Sungai Linggi beberapa hari lalu adalah video lama empat tahun lalu.)
Video yang dimuat naik memaparkan buaya tembaga kelihatan bersidai di Sungai Linggi. (Kanan: Video buaya bersaiz besar di Sungai Linggi beberapa hari lalu adalah video lama empat tahun lalu.)
A
A
A

PORT DICKSON - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan mengesahkan video yang tular dalam media sosial berkenaan lokasi buaya tembaga bersaiz besar sedang bersantai di muara Sungai Linggi adalah video lama.

Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, video tersebut adalah video lama empat tahun lalu yang ditularkan semula di aplikasi TikTok dan Facebook

Wan Mat berkata, buat masa ini, pihaknya masih belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung penemuan buaya tersebut, sama ada daripada penduduk atau mana-mana pihak.

“Buat masa ini, kami tidak pernah terima aduan orang terserempak dengan buaya atau ternampak buaya bersidai di sungai beberapa hari ini.

"Walau bagaimanapun, keadaan buaya di kawasan Sungai Linggi ini adalah perkara biasa buat penduduk setempat.

“Berdasarkan kajian pihak Perhilitan, buaya yang terdapat di Sungai Linggi merupakan buaya jenis tembaga,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Wan Mat berkata, buat masa ini, pihaknya masih belum mempunyai data saiz buaya terbesar yang pernah ditemui di Sungai Linggi.

Katanya, saiz buaya sentiasa membesar dan tiada had, serta anggaran umur seekor buaya juga boleh mencapai hingga 50 tahun.

Artikel Berkaitan:

“Walau apa pun orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati sekiranya berada di habitat buaya terutamanya di Sungai Linggi," katanya.

Pada Jumaat lalu, tular di TikTok video berdurasi 17 saat yang dimuat naik seorang individu memaparkan rakaman seekor buaya yang bersidai di tebing sungai berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!