MP Wangsa Maju tiada kaitan individu hina Nabi
KUALA LUMPUR - Ketua Cabang PKR Wangsa Maju, Andre Lai hari ini membuat laporan polis berhubung tangkap layar atau 'screenshot' berunsur perkauman yang mengaitkan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Tan Yee Kew dengan individu menghina Nabi Muhammad hingga tular di media sosial.
Andre berkata, screenshot status dimuat naik pengguna Facebook memaparkan pecahan skrin Twitter seorang individu yang mengandungi mesej berunsur hasutan terhadap keharmonian hubungan antara kaum dan gambar bersama Tan Yee Kew yang diambil pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina pada 17 Februari yang lalu.
"Selaku penganjur Rumah Terbuka dan juga pengerusi PKR Wangsa Maju, saya tidak mengenali sesiapa yang bernama penama Twitter berkenaan. Gambar yang diambil secara spontan pada hari itu tidak boleh dikaitkan secara langsung atau tidak langsung dengan Ahli Parlimen ataupun PKR Wangsa Maju.
"Kami tidak pasti kesasihan kandungan 'screenshot' yang yang disebutkan, namun saya berharap polis dapat dan mampu bertindak sewajarnya terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab. Saya juga mengesahkan pemilik twitter berkenaan bukanlah ahli PKR Wangsa Maju," katanya.
Sementara itu, Tan Yee Kew dalam satu kenyataan berkata, ramai pengundi dan juga ahli parti bergambar bersama beliau pada majlis berkenaan dan ada di antaranya yang tidak dikenali.
Beliau juga tidak pasti sama ada individu yang bergambar dengannya ialah individu sama dikatakan menghina Nabi Muhammad.
"Seandainya bukan dia yang melakukan, saya nasihatkan pemilik Twitter membuat laporan polis bagi membersihkan nama kerana sejak akhir-akhir ini banyak akaun Facebook dan WhatsApp palsu digunakan bagi menyebarkan berita palsu mengenai penghinaan agama dan perkauman oleh kumpulan tertentu bagi menimbulkan rasa kebencian dan tidak senang dalam kalangan rakyat.
"Saya menyeru kepada semua netizen janganlah pedulikan mesej seperti ini dan tidak viralkannya. Jangan biarkan emosi kita dimainkan oleh kumpulan ini untuk memusnahkan keamanan di negara kita ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!