Jemaah Dato’-Dato’ Perlis cadang bina tiga projek bernilai RM40 juta

Datuk Idrus Kassim (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Pengarah Urusan Hercules Engineering, Datuk Thomas Seng Shia Chong pada Sabtu. - Foto Bernama
Datuk Idrus Kassim (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Pengarah Urusan Hercules Engineering, Datuk Thomas Seng Shia Chong pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Pertubuhan Jemaah Dato’-Dato’ Perlis bercadang membangunkan tiga buah projek yang akan dikemukakan kepada kerajaan negeri dengan nilai pelaburan dianggarkan berjumlah RM40 hingga RM50 juta, kata Presidennya, Datuk Idrus Kassim.

Beliau berkata, projek tersebut yang akan dibangunkan secara kerjasama dengan syarikat Hercules Engineering (SEA) Sdn Bhd yang berpangkalan di Selangor merangkumi pembinaan parkir bertingkat dan sebuah restoran makanan segera di Kuala Perlis serta parkir tempat letak kereta bertingkat di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar.

“Kita masih dalam peringkat perbincangan dan akan menyediakan kertas kerja (proposal) kepada kerajaan negeri yang akan diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dalam masa terdekat.

"Pembinaan projek ini bakal memberikan manfaat kepada penduduk setempat selain meningkatkan ekonomi negeri ini,” katanya kepada Bernama selepas majlis permeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Hercules Engineering, di sini pada Sabtu.

MoU itu ditandatangani antara Idrus sebagai mewakili Jemaah Dato’-Dato’ Perlis dengan Pengarah Urusan Hercules Engineering, Datuk Thomas Seng Shia Chong.

Menurut Idrus, pihaknya bersama Hercules Engineering sebelum ini telahpun mengadakan pertemuan dengan Azlan bagi membincangkan perkara tersebut dan menteri besar menyuarakan hasrat untuk menyokongnya namun menyatakan kajian lebih terperinci perlu dilakukan.

Beliau berkata, parkir bertingkat yang akan dibina itu meliputi pelbagai kemudahan seperti ruang makan atau restoran bagi mengurangkan kesesakan di Terminal Feri Kuala Perlis serta untuk membendung aktiviti ulat parkir. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!