Sultan Brunei tiba untuk lawatan kerja dua hari ke Malaysia
SUBANG - Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini, bagi lawatan dua hari bermula hari ini.
Baginda yang diiringi oleh menteri-menteri dan pegawai kerajaan dengan delegasi seramai 19 orang mendarat kira-kira jam 6.05 seterusnya disambut oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
Sejurus selepas pesawat khas baginda mendarat, baginda yang mengendalikan sendiri pesawat itu memeriksa perbarisan kehormat yang dianggotai dua pegawai dan 24 anggota Batallion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Esok, baginda dijadual melakukan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu pertemuan sulung baginda dengan Dr Mahathir di bawah rangka kerja Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei di Putrajaya.
Baginda seterusnya dijadual menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Brunei mengenai pergerakan tahanan sebelum menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bagi meraikan baginda di Seri Perdana.
Pada sebelah petang, baginda dijadual berangkat menghadiri program bersama pelajar Brunei di Kuala Lumpur.
Baginda dijadual berangkat pulang pada 6 Mac. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!