Lebih 1,000 murid sertai kempen keselamatan secara dalam talian
KUALA TERENGGANU - Lebih 1,000 murid Tahun Tiga dan Empat di Terengganu menerima input mengenai penjagaan keselamatan diri yang julung kali diadakan secara dalam talian pada Sabtu.
Wakil Repsol Oil & Gas Malaysia Limited (Repsol), Ahmad Fakhrurrazi Arshad berkata, kempen berkenaan melibatkan penyertaan agensi kerajaan seperti Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu (JBPNT).
Menurutnya, kempen itu diadakan bagi memupuk kesedaran khususnya murid sekolah rendah terhadap ancaman keselamatan diri di rumah, sekolah dan persekitaran awam.
"Kempen ini juga diadakan bagi menyebarkan mesej-mesej keselamatan yang ditekankan dalam segenap fasa operasi kami.
"Ia merupakan landasan bagi murid-murid iaitu merupakan kumpulan sasaran yang memerlukan bimbingan dan pendedahan awal mengenai keselamatan diri mereka," katanya ketika berucap merasmikan kempen berkenaan di TD1303 di sini pada Sabtu.
Menurut Ahmad Fakhrurrazi, selain keselamatan, pihaknya turut menitikberatkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) meliputi aspek pendidikan, kesihatan dan modal insan.
Katanya, program yang dijalankan lebih lapan tahun itu dimanfaatkan lebih 13,000 pelajar sekolah rendah di Sabah dan Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!