PPV Pandu Lalu OKU Sentral Johor dibuka Isnin ini
JOHOR BAHRU - Pusat pemberian vaksin Covid-19 (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin di sini akan dibuka kepada orang awam 20 hingga 30 September ini.
Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, individu berusia 18 tahun dan ke atas di Johor yang belum mendapat vaksinasi, boleh hadir ke PPV berkenaan untuk sesi pendaftaran bermula jam 8 pagi pada setiap hari kecuali Jumaat, pada tempoh berkenaan.
Beliau berkata, bagi proses vaksinasi, PPV itu akan beroperasi secara pandu lalu atau 'drive-in' bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.
"Dijemput Bangsa Johor untuk mengambil peluang ini agar kita dapat lindungi diri kita dan lindungi semua," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Ahli Dewan Negara mewakili orang kurang upaya (OKU) itu berkata, sebelum ini, PPV yang beroperasi sejak 25 Ogos itu dikhususkan kepada golongan OKU dan ahli keluarga mereka serta warga emas.
Beliau berkata, PPV berkenaan juga adalah PPV terbesar di Malaysia dan terbesar yang dikhaskan untuk OKU dan warga emas.
PPV Pandu Lalu OKU Sentral itu merupakan pusat vaksinasi khas untuk OKU yang kedua dikendalikan oleh OKU Sentral selepas PPV Pandu Lalu OKU Sentral di Sime Darby Plantation Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!