Sultan Ibrahim bangga kejayaan dua anak Johor di persada antarabangsa
JOHOR BAHRU - Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan dua anak kelahiran negeri tersebut iaitu penyanyi dan penulis lirik Gin Lee serta pelawak yang juga pelakon Ronny Chieng kerana menempa nama di persada antarabangsa.
"Terima kasih kerana mengharumkan nama Johor.
Saya percaya Johor mempunyai banyak bakat terpendam yang masih belum dicungkil.
"Jadikan kejayaan mereka sebagai contoh dan inspirasi kepada rakyat Johor.
Saya berharap mereka terus kekal meletakkan nama Johor di mata dunia," titah Sultan Ibrahim dalam hantaran di laman Facebook rasmi baginda pada Sabtu.
Baginda bertitah Ronny yang sebelum ini membintangi filem ‘Crazy Rich Asians’ bersama pelakon popular Malaysia, Henry Goulding kini muncul dalam filem keluaran Marvel, ‘Shang Chi and The Legend of The Ten Rings’ yang akan ditayangkan di negara ini pada bulan depan.
"Beliau bermula sebagai pelawak terkenal sejak zaman universiti, di mana Ronny tampil bersama Trevor Noah pada tahun 2013. Kerjayanya diteruskan sebagai wartawan senior di ‘The Daily Show’ yang juga dihoskan oleh Noah.
"Beliau jelas tidak melupakan asal usul apabila menunjukkan pasport Malaysia dan fasih bertutur bahasa Melayu dengan mengatakan 'Johor Bahru kampung saya.
Saya anak Malaysia' dalam sebuah video promo filem ‘Shang Chi’ sempena Hari Malaysia selain menggunakan perkataan ‘lah’ dan ‘meh’ dalam pertuturan harian," titah baginda.
Titah baginda, manakala Lee baru-baru ini telah berganding di atas satu pentas bersama penyanyi popular Hong Kong, Jacky Cheung dengan membawakan lagu duet ‘Let the Street Lights Rest When the Sun Rises’ di acara Miss Hong Kong 2021.
"Lee mengeluarkan album sulungnya berjudul 'One & Only' pada 29 Dis 2009 selepas menjuarai pertandingan menulis lagu 'Malaysia's Universal Music'.
Dua tahun kemudian, Gin Lee yang berhijrah ke Hong Kong mula dikenali sebagai penyanyi Cantopop selepas menguasai bahasa Kantonis.
"Beliau juga menghasilkan beberapa buah lagu popular dan sebuah album berjudul ‘beGin’.
Mewakili Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), album tersebut juga menjadikan beliau sebagai Penyanyi Wanita Terbaik pada tahun 2020 di acara AIM Chinese Music Awards," titah baginda. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!