Operasi SAR mangsa bot karam tamat

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim)
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim)
A
A
A

SANDAKAN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di perairan Pulau Nunuyan dekat sini pada Khamis lepas tamat petang ini dengan penemuan mayat terakhir, seorang kanak-kanak perempuan warga Filipina di Kuala Batu 2 dekat sini pukul 1.30 petang tadi.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dalam satu kenyataan berkata mayat Noraina Ibrahim yang baru berumur 18 bulan, merupakan mayat kedua yang ditemui hari ini, selepas penemuan mayat Nidzma Herman, 10, di perairan antara Tanjung Pasir dan Mumiang dekat sini pada pukul 7.50 pagi.

Menurutnya tiga lagi mayat penumpang bot malang itu yang ditemukan sebelum ini ialah Kimar Herman, 7, yang ditemukan pukul 4 petang Jumaat (1 Mac); Aidah Kadil, 35 yang ditemukan tengahari 2 Mac; dan Ibrahim Januari, 27 yang ditemukan pukul 9.05 pagi semalam.

Juragan bot itu pula tidak ditemui, namun pencariannya diserahkan kepada pihak polis Sandakan kerana disyaki melarikan diri menggunakan tong minyak bot itu sebagai pelampung.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 6.00 petang Khamis lepas, sebuah bot yang dipercayai sedang dalam perjalanan dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke Sandakan, terbalik akibat keadaan laut yang bergelora.

Lima daripada penumpang bot itu yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita diselamatkan oleh bot tempur TLDM pada pukul 12.15 tengahari Jumaat apabila mereka dilihat berpaut pada bot yang terbalik, selepas kira-kira 18 jam hanyut di laut.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!