Harith Farhan hadiahkan TBPR penyudah podium

Harith Farhan menjejak kaki di podium selepas menamatkan perlumbaan akhir kelas CP125 di kedudukan ketiga pada Sabtu.
Harith Farhan menjejak kaki di podium selepas menamatkan perlumbaan akhir kelas CP125 di kedudukan ketiga pada Sabtu.
A
A
A

SASARAN kami untuk Harith di Pusingan 3 kejuaraan Cub Prix Malaysia minggu ini adalah penyudah podium tetapi tetap bergantung dengan kestabilan jentera. Kalau semuanya lancar insya-ALLAH ia mungkin berjaya dicapai.”

Itu ungkapan pemilik serta pengurus pasukan Tune Boss Pink Racing (TBPR), Nur Atikah Azwar dua hari lalu sebelum bermulanya aksi Pusingan 3 di Litar Sepang Utara minggu ini.

Ternyata, hasratnya itu menjadi kenyataan apabila pelumbanya, Mohd Harith Farhan Baharin berjaya menjejak kaki di podium selepas menamatkan perlumbaan akhir kelas CP125 di tempat ketiga pada Sabtu.

Perlumbaan 8 lap sejauh 21.648 kilometer (km) itu telah berlangsung dalam hujan, namun ia tidak menjejaskan misi Harith untuk menghadiahkan podium pertama buat pasukannya yang baharu membuat penampilan pada kejuaraan Cub Prix musim ini.

Malah, dia telah beberapa kali memimpin perlumbaan tersebut sebelum berdepan masalah dengan tahap kelajuan jenteranya pada dua lap terakhir, namun pelumba asal Terengganu itu tetap berupaya mengawal keadaan dengan baik sehingga ke garis penamat.

Harith yang memulakan perlumbaan tersebut di petak ketiga, telah dipintas oleh dua pelumba, Md Hafiza Rofa (ONEXOX TKKR Racing Team) dan Md Fareez Afeez Abd Rahman (Ipone Yamaha YY Pang Racing Team) kira-kira 500 meter daripada garisan penamat, sekali gus meletakkannya di kedudukan ketiga dengan catatan masa 13:15.750 saat (s).

Perlumbaan tersebut dimenangi Hafiza dengan masa 13:15.56s manakala Fareez yang menghuni kedudukan kedua tiba di garisan penamat dengan catatan masa 13:15.644s.

“Saya sudah menjangka keadaan ini akan berlaku kerana jentera saya menghadapi masalah di dua lap terakhir. Saya tetap fokus dan cuba sedaya upaya untuk mempertahankan kedudukan dan alhamdulillah berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

Artikel Berkaitan:

“Saya bersyukur kerana beraya menghadiahkan sesuatu buat pasukan yang telah bekerja keras selama ini menyediakan jentera terbaik buat kami,” jelas Harith.

Walaupun gagal menjuarai perlumbaan tersebut, namun ia suatu kejayaan yang sangat bermakna buat Harith dan pasukannya kerana ia dianggap sebagai permulaan buat mereka untuk terus tampil dengan cengkaman yang lebih berbisa pada pusingan akan datang.

Sebagai pendatang baharu dan masih mentah dengan pengalaman, ia adalah suatu yang sangat berharga buat Tune Boss Pink Racing yang telah memasang impian besar dalam sukan permotoran tempatan.

Dua lagi pelumba TBPR yang bersaing dalam kelas CP125 iaitu Siti Norafizah Mohamad dan Saiful Azhary masing-masingnya menamatkan perlumbaan tersebut di kedudukan ke-19 dan 18.

Siti Norsyafiyah Alia Saarizan pula yang menggalas cabaran dalam kategori Wira sekadar menamatkan perlumbaan akhir kelas tersebut di kedudukan ke-16 dengan catatan masa 9:45.117s.

Esok, mereka akan sekali lagi turun ke gelanggang bagi menghadapi saingan Pusingan 4 dan jika momentum yang mereka pamerkan hari ini dapat dipertahankan, barisan pelumba TBPR pasti mampu melakar satu lagi kejutan.

Setakat ini, TBPR terus mengukuhkan kedudukan mereka di tempat keempat keseluruhan bagi kategori berpasukan dengan kutipan 49 mata.

Harith pula berjaya mengubah kedudukannya dalam kategori pelumba untuk berada di tempat keenam dengan mengumpul 30 mata manakala Fifi di tempat ke-10 dengan 19 mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!