Khidmat orang tengah lindungi 'kingpin'
SHAH ALAM - Orang tengah wujud dalam kalangan orang awam berkhidmat untuk 'kingpin' yang terdiri daripada penjawat awam atau pemimpin politik.
Bekas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dr Mukhriz Mat Rus berkata, peranan orang tengah adalah untuk mengaburi kegiatan atau melindungi identiti ‘kingpin’.
"Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan pendakwaan kes-kes rasuah dan penyelidikan akademik, orang tengah ini ada beberapa kategori. Ia juga disebut dengan pelbagai panggilan seperti ‘runner’ dan proksi.
"Misalnya, seorang penguatkuasa akan mengarahkan orang tengahnya untuk meminta rasuah daripada mangsa. Pembayaran juga melalui orang tengah ini, ada habuan untuknya tapi lazimnya habuan untuk dirinya jauh lebih kecil berbanding si kepala ('kingpin').
"Orang tengah juga adakala menerima wang bagi pihak kepalanya. Ini bagi mengelak wang itu dikesan dalam akaun si kepala.
"Ini penting bagi penjawat awam kerana seseorang penjawat awam perlu mengisytihar harta dan boleh diarahkan untuk menjelaskan kenapa hartanya berlebihan berbanding pendapatannya," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, tindakan orang tengah ini hakikatnya menyusahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan kepada suspek utama yang menikmati paling banyak hasil daripada kegiatan jenayah rasuah itu.
Jelasnya, adakala suspek utama tidak dapat dihadapkan ke muka pengadilan kerana ketiadaan bukti yang mencukupi, selain kelicikan perancangan dan peranan orang tengah.
"Contohnya, tiada rekod yang boleh menunjukkan si kepala atau 'kingpin' menerima rasuah kerana wang dimasukkan ke akaun orang tengah. Kemudian orang tengah mengeluarkan wang tunai untuk 'kingpin'. Maka, tiada rekod transaksi kewangan yang dapat mengaitkan 'kingpin'.
"Dalam keadaan tertentu, orang tengah tidak didakwa tapi dijadikan saksi pendakwaan. Maka pendakwaan akan bergantung kepada keterangan lisan orang tengah bahawa duit rasuah itu telah disampaikan kepada suspek utama.
"Bagaimanapun pendekatan ini berisiko tinggi kerana ada kemungkinan orang tengah akan belot semasa beri keterangan di mahkamah (saksi tipu)," katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, penglibatan orang tengah memang merumitkan pembanterasan rasuah terutamanya melalui perundangan.
Ujarnya, ada juga yang menyifatkan rasuah melibatkan proksi atau orang tengah adalah satu contoh ‘crime of the powerful’.
"Modus operandi melibatkan orang tengah ini hanya mampu dibuat oleh orang yang berkuasa, yang disebut jerung-jerung itu. Tapi bukan oleh bilis-bilis yang mudah ‘kantoi’ dan untungnya pun tidak seberapa jika bernasib baik terlepas," jelasnya.
Mukhriz berkata, upaya dan usaha memerangi rasuah perlu datang dari bawah, yakni masyarakat bagi memastikan akar-akar itu sama ada mereput atau terpancul keluar dari tanah.
Katanya, upaya dan usaha yang ingin dijana oleh kempen Rasuah Busters mampu menyuburkan pembudayaan integriti, menyahnormalkan rasuah dan gejalanya, serta menggerunkan pendaya-pendaya rasuah dalam masyarakat kita.
"Pada hemat saya, undang-undang dan hukuman sedia ada sudah baik. Namun undang-undang hanya mampu mencantas dahan dan ranting, tapi bukan mencabut akarnya. Kelak pokok rasuah itu akan rimbun semula. Dalam erti kata lain, kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada undang-undang.
"Semoga usaha terangkum ini mencapai semua matlamat yang dirangka dan menjadi contoh kepada penggerak masyarakat yang lain dari semua lapangan," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!