Kelantan masuk fasa ketiga awal Oktober
GUA MUSANG - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjangkakan negeri ini bakal beralih kepada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada bulan Oktober.
Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Husin berkata, tren itu berpandukan kadar vaksinasi di negeri ini yang semakin meningkat iaitu 75 peratus sekali gus mampu mencapai tahap imuniti kelompok seperti yang disasarkan pada hujung bulan ini.
"Setakat ini seramai 932,000 telah lengkap dos pertama dan 671,000 dos kedua termasuk yang berumur 18 tahun ke atas," katanya ketika ditemui pada misi vaksinasi masyarakat orang asli di Pos Gob pada Sabtu.
Menurut Dr Zaini, walaupun Kelantan bakal melangkah ke Fasa Ketiga PPN aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tetap perlu diikuti kerana masyarakat perlu hidup bersama Covid-19 sebagai endemik.
Beliau turut memaklumkan, JKNK sudah bersedia untuk berdepan situasi tersebut.
Dalam perkembangan lain katanya, kadar kemasukan ke hospital di negeri ini menunjukkan penurunan walaupun bilangan kes berada pada tahap empat angka sejak 10 Ogos lalu.
Katanya, 97 peratus kes Covid-19 tersebut hanya melibatkan kategori tahap satu dan dua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!