AUKUS: Australia cadang hantar pegawai ke Malaysia

Saifuddin. - Foto Bernama
Saifuddin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Australia bercadang untuk menghantar pegawai-pegawainya ke Malaysia bagi memberi penjelasan lanjut berhubung pakatan tiga hala AUKUS yang ditubuhkan pada Rabu lepas.

Menurut Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, beliau bersetuju dengan langkah tersebut yang dicadangkan oleh rakan sejawatnya dari Australia, Marise Payne.

“Baru-baru ini saya telah menerima panggilan telefon daripada rakan sejawat saya dari Australia, Senator Marise Payne.

“Beliau turut memberi penerangan tentang AUKUS dan saya bersetuju dengan cadangan beliau mengenai penghantaran pegawai-pegawai dari Australia ke Malaysia bagi memberi penjelasan dan pemahaman lebih lanjut mengenai perkara ini,” kata Saifuddin.

Saifuddin turut menyokong sepenuhnya kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu yang menyatakan kegusaran bahawa kerjasama baharu antara Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia atau AUKUS akan meningkatkan ketegangan di Indo-Pasifik.

“Malaysia tetap berpendirian teguh dalam mempertahankan keamanan dan keselamatan antarabangsa di rantau Indo-Pasifik, termasuk isu-isu yang berkaitan dengan perlucutan senjata nuklear, ketakcambahan nuklear dan penggunaan teknologi nuklear secara aman,” ujar Saifuddin dalam kenyataan yang dikongsi di Facebook peribadinya hari ini.

Tambah beliau, pendirian Malaysia terhadap isu-isu berkaitan nuklear turut telah dibincang dan dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu.

Justeru, Saifuddin menggesa pihak-pihak berkaitan di seluruh rantau untuk memainkan peranan yang lebih aktif.

Artikel Berkaitan:

“Dalam hal ini, saya menyeru semua pihak yang berkenaan di rantau ini untuk mengukuhkan kerjasama yang lebih aktif dalam mempromosikan dan mempertahankan rantau ini sebagai rantau yang aman, stabil serta berkembang dan makmur, sebagaimana yang digariskan di bawah ASEAN Outlook on Indo-Pacific,” tambah beliau. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!