Hanya 1.8 peratus populasi dewasa belum divaksin
JOHOR BAHRU - Sasaran kadar vaksinasi Covid-19 bagi populasi dewasa di negara ini akan dicapai sepenuhnya apabila baki 1.8 peratus berjaya dilengkapkan dalam tempoh terdekat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebanyak 78.2 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa telah lengkap divaksinasi setakat Sabtu dan 93.1 peratus daripadanya menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Tambah beliau, kadar populasi dewasa yang lengkap divaksin turut ditumpukan di peringkat negeri dengan sasaran sekurang-kurangnya 60 peratus menjelang akhir September.
"Pada bulan ini kadar liputan lebih tinggi di beberapa negeri tertentu. Usaha pemvaksinan rakyat di negeri yang masih mencatatkan kadar vaksinasi lebih rendah iaitu Kelantan, Pahang, Kedah, Perak dan Sabah.
"Untuk makluman, kadar vaksinasi negara yang dicatatkan setakat Sabtu sebanyak 232,559 suntikan dos. Jumlah terbesar diberi di Sabah, Johor dan Lembah Klang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin ( PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin Johor Bahru di sini pada Ahad.
Hadir sama Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adibah Radzi.
Menurut Dr Adham, liputan vaksinasi di kebanyakan negeri di seluruh negara ketika ini berada di landasan baik terutama di Sarawak, Labuan dan Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Justeru trend penurunan dapat dilihat dalam kadar vaksinasi sesama negara ketika ini jika dibandingkan dengan sebelum ini dan sebahagian besarnya di Lembah Klang yang mempunyai kapasiti harian tertinggi berbanding negeri-negeri lain.
"Penurunan kadar vaksinasi harian ini bukan bermakna usaha vaksinasi diperlahankan sebaliknya lebih tertumpu kepada negeri dan kawasan tertentu termasuk bagi menyasarkan kumpulan yang tercicir," jelasnya.
Menyentuh mengenai vaksinasi melibatkan golongan OKU, Dr Adham berkata, mengikut data Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19, seramai 517,447 orang daripada 575,564 orang merangkumi 89.9 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
"Seramai 401,425 orang telah lengkap vaksinasi penuh meliputi 69.74 peratus jumlah OKU yang mendaftar untuk vaksinasi," katanya.
Beliau turut memberitahu, PPV di Arena Larkin mula dibuka untuk orang ramai secara 'walk-in' pandu lalu mulai esok hingga 30 September ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!