Lelaki maut diserang sawan ketika daki bukit
SHAH ALAM - Seorang lelaki mengalami sawan maut semasa mendaki bukit di Setia Alam Community Trail di sini pada Ahad.
Mangsa dikenali sebagai Albert Ma Chuan Chick, 33, beralamat di Jalan Kemuning Damai, Shah Alam disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.43 tengah hari.
"Seramai 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik bergegas ke tempat kejadian.
"Pemeriksaan mendapati lelaki terbabit meninggal dunia dengan jarak pendakian dari lokasi kira-kira 800 meter," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Norazam berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pengamal perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Mayat mangsa telah dibawa turun dari bukit terbabit dan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!