KKMM mahu pusat internet komuniti fokus ekonomi digital
LANGKAWI - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan melakukan transformasi berkaitan peranan pusat internet komuniti di seluruh negara agar lebih memfokuskan kepada ekonomi digital bagi membantu rakyat menjana pendapatan.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, KKMM akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi melaksanakan perkara itu dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menyediakan platform latihan berkaitan ekonomi digital untuk dimanfaatkan masyarakat setempat.
"Sudah banyak sebenarnya yang dilakukan oleh pusat internet komuniti dengan kerjasama syarikat telekomunikasi dalam membimbing dan membantu penduduk setempat, membolehkan mereka menyertai program digital ekonomi.
"Tinggal lagi kami ingin memperluaskan lagi program-program itu dan menjadikan ia lebih sistematik lagi. Jadi fokus kami bukan hanya soal (liputan dan kelajuan) internet sahaja tetapi kepada aplikasi yang boleh membawa kepada penambahan pendapatan penduduk khususnya di kawasan luar bandar," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Internet Komuniti Kampung Padang Lalang di sini pada Ahad.
Annuar menjelaskan ekonomi digital menjadi satu keutamaan kepada kementerian bagi memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat meraih pendapatan selepas terjejas ekoran pandemik Covid-19.
"Terlalu lama rakyat tertekan, hilang pendapatan dan sebagainya, jadi aspek digital ekonomi ini satu yang mesti kita 'rakyatkan' supaya semua orang boleh ambil bahagian. Tidak perlu tunggu nak buka kedai, tak perlu buka warung atau gerai, jadi benda itu ada dalam genggaman tangan mereka sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Annuar berkata, KKMM juga bercadang meningkatkan bilangan pusat internet komuniti supaya lebih ramai rakyat terutama di kawasan luar bandar mendapat manfaat.
"Kami akan menambahkan bilangannya, sekarang ini ada lebih 800 atau sudah hampir 900. Kami jangka dalam masa terdekat kita akan ada 1,000 pusat internet ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!