Saya nak jumpa MB Perak pun susah, kata pemimpin Bersatu

Jaafar (duduk, tengah) meluahkan kekecewaan kerana gagal mengadakan pertemuan dengan Ahmad Faizal berkaitan isu nasib ejen tiket bas.
Jaafar (duduk, tengah) meluahkan kekecewaan kerana gagal mengadakan pertemuan dengan Ahmad Faizal berkaitan isu nasib ejen tiket bas.
A
A
A

IPOH - "Saya nak jumpa Menteri Besar Perak pun susah," itu luahan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tambun, Jaafar Othman.

Perkara didedahkan berikutan kekecewaannya kerana gagal membantu menyelesaikan isu 200 ejen tiket bas di Terminal Amanjaya yang diarah keluar dari terminal tersebut berikutan pelaksanaan Sistem Tiket Berpusat (CTS).

Katanya, pihak Pertubuhan Kebajikan Ejen Jualan Tiket Bas Ekspres Silveritage meminta bantuannya untuk bertemu dengan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tambun.

Menurutnya, cadangan pertemuan itu sudah dimaklumkan secara tidak formal kepada Ahmad Faizal selain secara formal melalui Pejabat Menteri Besa Perak tetapi sehingga kini tiada satu pertemuan dapat dibuat.

"Kalau kita bagi surat dan dah terima sekurang-kurang sebagai kerajaan, deme (mereka) balaslah balik betul tak?.

"Sebagai timbalan dia pun, saya marah sebab masalah ini berlaku di Tambun sebab Terminal Amanjaya itu di bawah Parlimen Tambun, MAPS bawah dia, Lost World of Tambun pun bawah dia. Apa salah ambil tahu masalah ini," katanya kepada pemberita, di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz Sha, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu video tular menunjukkan dirinya menghubungi pegawai Menteri Besar Perak sambil memaki hamun Ahmad Faizal.

ARTIKEL BERKAITAN Gesa campur tangan kerajaan negeri

Artikel Berkaitan:

Menurut Jaafar, beliau tiada niat lain selain bertujuan untuk membantu kira-kira 200 ejen tiket bas ekspres yang akan kehilangan kerja.

Katanya, sebagai pemimpin parti yang diwujudkan untuk membela nasib rakyat, dia berusaha menggunakan saluran parti untuk membantu mereka dalam keadaan susah.

"Orang tanya saya minta selesaikan masalah, mereka nak jumpa sejam sahaja. Tapi sampai sekarang saya sebagai timbalan tak pernah jumpa. Kalau macam ni Bossku lagi cantik.

"Tun Dr Mahathir tubuhkan Bersatu bukan main cantik untuk bela rakyat tapi yang dah menang ini, nak jaga rakyat pun tak boleh," katanya. Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan keluhan pertubuhan tersebut yang mengharapkan campurtangan kerajaan Perak untuk menyelesaikan masalah ini.

Malah Pengerusinya, Mohd Tarmizhi Mohd Yusoff berkata, pihaknya juga sudah mengemukakan cadangan kepada Menteri Besar Perak mengenai pembukaan semula Terminal Medan Gopeng di Kompleks Silveritage bagi menyelamatkan kesemua pekerja yang terpaksa keluar daripada Terminal Amanjaya itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!