Anggota bomba wajib lengkap dua dos vaksin
KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mewajibkan semua anggotanya untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam usaha mencegah penularan jangkitan itu.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, suntikan vaksin itu penting kerana tugasan anggota pasukan tersebut mempunyai hubung kait dengan orang awam semasa menyelamat.
"Mana-mana anggota yang bertugas sebagai penyelamat mesti melengkapkan dua dos suntikan vaksin.
"Hal ini bertujuan untuk memastikan keselamatan diri anggota terjaga semasa melaksanakan tugas-tugas menyelamat," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa lawatan kerja ke JBPM Kelantan pada Ahad.
Menurutnya, pada masa sama anggota penyelamat juga diwajibkan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) yang lengkap dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa melaksanakan tugas.
Beliau berkata, setiap anggota bertugas turut dipantau menerusi ujian saringan bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan Covid-19 sebelum memasuki balai.
Mohammad Hamdan berkata, sekiranya ada gejala anggota terlibat perlu patuh kepada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Alhamdulillah, sehingga hari ini sudah 90 peratus anggota bomba di seluruh negara telah melengkapkan suntikan dua dos vaksin.
"Baki yang belum menerima suntikan itu disebabkan oleh masalah kesihatan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata, sehingga kini seramai 125 anggota JBPM telah positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah.
Kebanyakan anggota JBPM yang terkena jangkitan itu jelas. beliau adalah disebabkan penularan dalam peringkat komuniti dan bukan semasa melaksanakan tugas menyelamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!