PRK Rantau: PKR dah ada berbelas nama calon
KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata partinya belum memutuskan nama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau daripada berbelas nama yang telah dicadangkan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu akan berbincang lebih lanjut mengenai kesemua cadangan nama tersebut pada mesyuarat Biro Politik PKR yang dijangka esok atau lusa.
"Kita sudah bersedia (menghadapi PRK DUN Rantau) dan kita akan bermesyuarat lagi hari esok atau hari Rabu. Senarai (nama calon) sudah ada. Banyak. Kita ada berbelas nama," katanya pada sidang media selepas sesi townhall 'Digital Native Agenda' di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.
PRK DUN Rantau akan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
SPR dalam satu kenyataan hari ini berkata satu mesyuarat khas berkaitan urusan PRK DUN Rantau itu akan diadakan Rabu ini bagi membincangkan mengenai tarikh-tarikh penting urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian dan daftar pemilih.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan PAS dan UMNO bertanding di bawah satu lambang pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, Anwar berkata:
“Sudah tentu mereka bebas untuk berbuat demikian, itu okey... dan kita tengok nanti dan beri respons sewajarnya. Saya tidak begitu risau dengan inisiatif mereka. Mereka kelihatan bersemangat selepas melihat hasil satu pilihan raya kecil, tetapi mereka lupa mereka kalah banyak kerusi sebelum itu termasuk kerusi Port Dickson,” tambahnya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan bahawa UMNO dan PAS mungkin menggunakan logo yang sama dalam pilihan raya umum akan datang, ekoran kejayaan kerjasama antara mereka pada pilihan raya kecil Cameron Highlands dan Semenyih baru-baru ini.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dipetik sebagai berkata sebelum ini, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Perundingan UMNO-Pas esok (5 Mac). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!