Tanah runtuh: Jalan Penampang-Tambunan terputus hubungan
KOTA KINABALU - Hubungan jalan raya Penampang-Tambunan terputus apabila satu kejadian tanah runtuh berlaku di Kilometer 52.35 berdekatan Air Terjun Masakob pada jam 7 malam Ahad.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, laluan sepanjang hampir 30 meter di kawasan itu runtuh hingga tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.
“Jalan berkenaan dipercayai runtuh akibat hujan lebat berterusan dan kawasan itu kini dikategorikan sebagai berbahaya,” katanya ketika dihubungi malam Ahad.
Katanya, tiada mangsa terlibat atau kerosakan kenderaan dilaporkan akibat kejadian itu.
Bagaimanapun, katanya penduduk terjejas boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Ranau ke Tambunan atau melalui Jalan Kimanis ke Keningau.
“Pemantauan situasi di kawasan kejadian masih dilakukan setakat ini dan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengelak laluan itu sehingga kerja-kerja membaik pulih disiapkan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!