United bangkit benam West Ham
CRISTIANO Ronaldo terus membuktikan sentuhannya cukup berbisa apabila membantu Manchester United meraih kemenangan 2-1 ke atas West Ham United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi.
West Ham terlebih dulu berada di depan apabila bola rembatan Said Benrahma terbias tonggak pertahanan United, Raphael Varane dan gagal diselamatkan penjaga gol, David de Gea pada minit ke-30.
Berselang lima minit kemudian, Ronaldo berjaya menyamakan kedudukan, sekali gus menyaksikan dia kini mengumpul tiga gol selepas beraksi dalam dua perlawanan EPL.
Minggu lalu, Ronaldo yang kembali membuat penampilan di pentas EPL selepas berhijrah dari Juventus menyumbat dua gol bagi membantu United menang 4-1 ke atas Newcastle United di Old Trafford.
Penyerang gantian, Jesse Lingard menceriakan kem United apabila meledak gol kedua The Red Devils seminit sebelum perlawanan berakhir.
Ketika perlawanan hampir menuju ke penghujung, skuad The Hammers berpeluang menyamakan kedudukan apabila memperoleh sepakan penalti selepas bola terkena tangan Luke Shaw.
Bagaimanapun, Mark Noble yang dimasukkan untuk mengambil sepakan penalti itu gagal menyempurnakan tugasan tersebut apabila de Gea tangkas menepis bola rembatannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!