Manny Pacquiao mahu bertanding jawatan Presiden Filipina

Pacquiao (tengah) ketika berucap pada persidangan parti PDP-Laban di Manila pada Ahad. - Foto: AFP
Pacquiao (tengah) ketika berucap pada persidangan parti PDP-Laban di Manila pada Ahad. - Foto: AFP
A
A
A

MANILA - Bintang tinju Filipina, Emmanuel 'Manny' Pacquiao pada Ahad mengumumkan beliau akan bertanding untuk merebut jawatan presiden pada 2022.

Ia sekali gus menamatkan spekulasi banyak pihak yang berteka-teki sama ada senator tersebut berhasrat untuk mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Presiden Rodrigo Duterte selepas hubungan kedua-duanya semakin dingin sejak beberapa bulan lalu.

"Masanya sudah tiba. Kami bersedia untuk merebut jawatan tertinggi negara," katanya selepas beliau menerima pencalonan puak penentang dalam parti pemerintah, PDP-Laban.

Juara dunia lapan kali berusia 42 tahun itu membuat pengumuman tersebut beberapa minggu selepas beliau menyuarakan hasrat untuk bersara setelah tewas untuk mempertahankan kejuaraan kategori welterweight kepada Yordenia Ugas di Las Vegas.

Pacquiao yang menyertai bidang politik pada 2010 sebagai anggota Kongres sebelum dilantik sebagai senator telah sekian lama disebut sebagai antara calon pilihan yang diharap dapat memegang tampuk pemerintahan.

Kredibiliti beliau sebagai petinju terhebat dunia dan usaha untuk membasmi kemiskinan dan memerangi rasuah dijangka menjadi antara isu yang akan diperjuangkan dalam kempen pilihan raya tersebut.

"Buat mereka yang mempersoalkan kelayakan saya, pernahkah anda berdepan situasi kelaparan melampau kerana tiada makanan dan terpaksa meminjam wang daripada jiran atau menunggu sisa makanan untuk mengisi perut kosong?" katanya ketika sidang PDP-Laban yang diadakan puak anti-Duterte.

Kekuatan Pacquiao sebagai bintang terkemuka di negara yang menyaksikan politik yang taksub dengan selebriti akan meletakkan beliau pada kedudukan yang kuat dalam Pilihan Raya Presiden 2022.

Artikel Berkaitan:

Namun, ia tidak menjamin kemenangannya.

Pertelingkahan antara beliau dan Duterte berhubung isu Laut China Selatan dan siasatan rasuah terhadap pemerintah berkemungkinan mengikis sokongan terhadap petinju tersebut.

Sebelum ini, Pacquiao yang dilihat sebagai pencabar utama untuk menggantikan Duterte pada Pilihan Raya Presiden 2022 telah sekian lama menjadi penyokong kuat pemimpin kontroversi itu malah menyokong kempen antidadah di bawah pentadbirannya.

Pada bulan lalu, Duterte yang hanya dibenarkan berkhidmat untuk tempoh sepenggal seperti ditetapkan di bawah Perlembagaan turut mengumumkan beliau akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden.

Sementara itu, puak penyokong Duterte juga menyokong pembantu rapat Presiden, Senator Christopher Lawrence 'Bong' Go untuk bertanding walaupun beliau belum menerima pencalonan tersebut secara rasmi.

Pacquiao juga dijangka berdepan pesaing luar biasa jika Sara yang merupakan anak perempuan Duterte benar-benar bertanding pada pemilihan tersebut.

Menerusi wawancara bersama AFP baru-baru ini, Pacquiao memaklumkan beliau akan meneruskan kempen antidadah pentadbiran Duterte mengikut cara yang betul dan tidak melanggar hak individu.

Ketika disoal sama ada beliau akan melindungi Duterte daripada sebarang pendakwaan jenayah apabila berjaya memegang kepimpinan negara, beliau hanya menjawab, 'kita semua terikat dengan undang-undang'.

Difahamkan, tarikh akhir untuk mendaftar sebagai calon Pilihan Raya Presiden 2022 adalah pada 8 Oktober depan. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!