'Selesai isu geran atau berdepan saman'
RAWANG - Penduduk Desa Puteri di Bandar Tasik Puteri di sini memberikan tempoh selama dua minggu kepada pemaju bagi menyelesaikan pecahan geran strata atau berdepan tindakan mahkamah.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Desa Puteri, Zairul Hizat Halim berkata, keputusan itu dicapai selepas perkembangan tuntutan penduduk itu gagal diselesaikan sehingga kini dan prosesnya berjalan terlalu perlahan.
"Kami bertemu Ahli Parlimen Selayang, William Leong yang akan membantu penduduk untuk panduan prosiding mahkamah, namun meminta penduduk memberikan sedikit masa kepada pemaju membuat keputusan akhir," katanya mengulas hasil pertemuan bersama William, semalam (Ahad).
Katanya, lanjutan berkenaan isu saman itu bakal diputuskan pada 17 Mac ini.
"Kita minta penduduk atau pemilik rumah rumah bandar dua tingkat (townhouse) dan pangsapuri untuk tampil memberikan kerjasama bagi pengumpulan maklumat berkaitan dokumen perjanjian.
"Hampir sepuluh tahun kami menunggu dan melalui semakan status di Pejabat Tanah dan Galian Selangor mendapati pemaju tidak pernah membuat permohonan tersebut sepanjang tempoh itu sehingga Mac lalu namun hanya melibatkan rumah teres," katanya.
Katanya, penduduk meminta kerajaan negeri campur tangan berkenaan permasalahan itu kerana tempoh menunggu oleh penduduk dianggap memadai selepas pemaju gagal menyelesaikan permasalahan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!