Ramai harap KJ buat lebih banyak lawatan mengejut
TINDAKAN Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membuat lawatan mengejut ke Hospital Kajang pada Sabtu menjadi topik perbualan netizen.
Berdasarkan posting yang tular, menteri yang popular dengan panggilan KJ hadir hanya bersama seorang pegawai dengan penampilan yang simple, jeans dan hoodie.Jika dilihat kepada gambar lawatan itu, jelas sekali ia adalah lawatan mengejut yang tulen kerana tanpa iringan pihak atasan.
Ternyata ia adalah langkah yang tepat untuk mengetahui keadaan sebenar Hospital Kajang apabila KJ mendapat maklumat terus daripada kakitangan bawahan.
Ramai juga yang berharap KJ dapat membuat lawatan yang sama ke hospital masing-masing supaya mereka dapat menyalurkan aduan tanpa ada sebarang sekatan.
Pengarah-pengarah yang terlibat perlu bersedia selepas ini kerana KJ mungkin akan melawat ke bahagian yang sering berdepan dengan jumlah pesakit yang ramai ketika waktu puncak.
Tempat di mana pesakit terpaksa menunggu lama disebabkan pasukan perubatan tidak menang tangan untuk melayan mereka.
Sebenarnya, itulah lawatan mengejut yang diimpikan oleh golongan bawahan kerana ia mempersembahkan keadaan sebenar kepada golongan atasan.
Jika sebelum ini sesetengah lawatan mengejut hanya ‘mengejut᾿ pada namanya sahaja dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.
Lawatan pula diiringi ketua jabatan yang ramai termasuklah memanggil pihak media untuk membuat liputan. Maka hasil lawatan juga adalah tidak asli.
Bahkan budaya lama perlu mengadakan persediaan rapi setiap kali lawatan menteri atau VIP bukanlah satu lawatan untuk menyelesaikan masalah tetapi menambah beban kepada kakitangan bawahan.
Oleh itu, maka eloklah menteri-menteri lain yang memegang portfolio penting buat ‘pemeriksaan᾿ seperti itu juga. Ia amat berkesan memberi informasi tambahan, maklumat daripada berbeza peringkat yang akhirnya dapat membantu mereka membuat keputusan dengan lebih tepat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!