Prihatinnya Perkeso

Skuad Perkeso Prihatin berusaha memastikan bantuan faedah yang layak diterima oleh pencarum atau orang tanggungannya dihulurkan sesegera mungkin.
Skuad Perkeso Prihatin berusaha memastikan bantuan faedah yang layak diterima oleh pencarum atau orang tanggungannya dihulurkan sesegera mungkin.
A
A
A

HAMPIR dua tahun kita hidup dalam norma baharu iaitu satu pengubahsuaian gaya hidup dek penularan Covid-19 yang meragut jutaan nyawa di seluruh dunia.

Impak Covid-19 tidak lagi terhad kepada risiko kesihatan termasuk mengancam nyawa, malah turut merencatkan aktiviti ekonomi dengan begitu drastik dan signifikan sekali.

Pandemik ini telah mengakibatkan banyak perusahaan gulung tikar dan ramai yang hilang pekerjaan.

Di Malaysia, keadaan begitu mencabar lebih-lebih lagi kepada golongan rentan dalam kalangan M40 dan B40 yang berdepan risiko kehilangan kerja dan punca pendapatan sekali gus menyukarkan mereka dan keluarga meneruskan kehidupan. Melihat keadaan ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program dan insentif bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat yang terkesan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), bantuan khas kewangan bersasar, moratorium tanpa syarat dan sebagainya.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebagai salah satu agensi kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang bertanggungjawab dalam perlindungan keselamatan sosial juga tidak ketinggalan memainkan peranannya dalam usaha ini.

Sepanjang tempoh pandemik, Perkeso telah melaksanakan pelbagai inisiatif kerajaan antaranya Program Subsidi Upah, Program Pengekalan Pekerjaan, PenjanaKerjaya, Program Saringan Prihatin, SPS Lindung dan SIP Prihatin.

Bukan itu sahaja, pencarum yang positif atau meninggal dunia akibat Covid-19 juga dibantu dengan pelbagai faedah Perkeso seperti Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Perubatan, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

Prihatin bersama andaPerkeso memberikan bantuan yang sewajarnya kepada pencarum yang layak ketika tempoh pandemik ini kerana para pencarum adalah keutamaan mereka.

Artikel Berkaitan:

Salah satu daripada inisiatif tersebut adalah Skuad Perkeso Prihatin (SPP). Mula ditubuhkan pada 2016, SPP diwujudkan untuk membawa Perkeso lebih dekat dan akrab dengan para pencarum.

Skuad ini mengambil langkah proaktif dengan memantau berita mengenai kemalangan dan kematian di media massa dan juga media sosial di samping perkongsian yang dibuat oleh ketua dan wakil masyarakat serta orang ramai.

Sebaik sahaja berita dikesan atau diterima, SPP akan segera menyemak maklumat mangsa.

Sekiranya mangsa layak mendapat faedah Perkeso, SPP akan terus menghubungi dan menyalurkan bantuan segera kepada pencarum atau orang tanggungan, tanpa mereka perlu menuntutnya.

Dan semua ini dilakukan dengan segera demi membantu meringankan beban mangsa atau waris tanggungan mereka.

Sehingga 15 September 2021, SPP telah membantu mengurus dan memudah cara 3,322 kes melibatkan pencarum dan waris mereka bagi mendapatkan bantuan faedah Perkeso.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Perkeso melalui SPP komited dan akan terus membantu pencarum yang ditimpa musibah mahupun waris mereka.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk melindungi pekerja, SPP beriltizam untuk menyantuni setiap pencarum dan keluarga mereka yang berada dalam kesusahan,” katanya.

Mengorak langkah

ke hadapanSebagai pelopor dan pemimpin dalam pelaksanaan jaringan keselamatan sosial di Malaysia, Perkeso beriltizam untuk memperluaskan perlindungan keselamatan sosial yang ditawarkan untuk memastikan kesejahteraan dan produktiviti pekerja.

Harapan mereka agar seluruh rakyat Malaysia berpeluang untuk menikmati perlindungan keselamatan sosial ini.

Sekiranya anda mengetahui sebarang insiden kemalangan berkaitan pekerjaan ataupun kematian, dan ingin Skuad Perkeso Prihatin membantu mangsa dan/atau warisnya mendapatkan bantuan faedah, sila WhatsApp nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon mangsa/waris serta butir-butir lanjut kemalangan ke 012-6125494.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!