Perkembangan positif dalam penubuhan Majlis Media Malaysia

A Kadir
A Kadir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) gembira melihat perkembangan positif dalam usaha menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMC), kata Penasihat Khas kepada Perdana Menteri berhubung Media dan Komunikasi, Datuk A Kadir Jasin.

Tokoh wartawan veteran itu berkata MMC dijangka dapat dibangunkan tahun ini.

“Saya sudah berbincang dengan beberapa pihak bagi menggalakkan mereka untuk membangunkan Majlis ini secepat mungkin. Kerajaan baru sudah menghampiri tempoh setahun pentadbirannya dan masih ada banyak janji-janji yang belum dilaksanakan, terutama dalam aspek pembaharuan, banyak lagi undang-undang yang dijanjikan untuk dimansuh atau dipinda, yang masih belum dilaksanakan,” katanya.

“Saya dah lihat sekurang-kurangnya dua draf yang agak baik mengenai bagaimana seharusnya MMC ini dibentuk, dan ia mungkin dapat dibincangkan di sini dalam masa dua hari. Saya harapkan beberapa idea yang lebih jelas akan dapat ditampilkan dalam persidangan ini nanti supaya ia akan dapat dibentangkan kepada kerajaan,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di majlis Rundingan Nasional Bagi Penubuhan MMC 2019 di sini hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Shakib Ahmad Shakir menghadiri majlis itu sebagai mewakili Timbalan Menteri Eddin Syazlee Shith.

Mengulas lanjut Kadir berkata penubuhan MMC adalah penting, namun kerajaan tidak akan terbabit dalam prosesnya.

"Ia penting kerana kerajaan mahukannya, namun kerajaan tidak akan mengambil langkah pertama... ia bukan dasar kerajaan baharu, kami tidak mahu campur tangan dengan media.

"Kami mahukan supaya media lebih bebas tapi kami juga mahukan media lebih bertanggungjawab. Jadi Majlis Media ini penting buat wartawan dan pengamal media. Ia penting kerana ia adalah sebahagian deripada proses pembaharuan kepada kerajaan baharu,” kata Kadir.

Artikel Berkaitan:

Persidangan dua hari itu dianjurkan bersama oleh Pusat Kewartawanan Bebas dan Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) dengan sasaran menghimpunkan pemegang taruh bagi melakar pelan pengawalan kendiri untuk media Malaysia.

Sementara itu Shakib semasa membaca ucapan Eddin berkata MMC boleh mencontohi badan-badan pengawalan kendiri dari negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.

Beliau memberi contoh di Indonesia, pengawalan kendiri amat berjaya dalam membantu para wartawan menangani cabaran, daripada usaha kerajaan untuk campur tangan sehingga kepada isu-isu ekstremism, dan mereka menampilkan set peraturan standard bagi liputan konflik etnik dan isu pengaman.

"Di Filipina, Cebu Citizen Press Council juga membantu menampilkan standard dalam liputan di persekitaran yang mencabar, mereka bekerjasama dengan polis bagi membantu menegakkan keadilan seperti menjunjung anggapan bahawa seseorang itu tidak bersalah (sehingga dibuktikan).

“Mereka juga menganjurkan perjumpaan dengan badan-badan agama bagi membantu dalam memupuk persefahaman dalam kalangan pelbagai kepercayaan berbeza, dan membantu dalam membaiki persekitaran buat pemberita mahkamah termasuk dalam menangani isu-isu berkaitan gangguan,” katanya.

Sementara itu menurut siaran media CIJ, idea penubuhan majlis media itu mulai diusulkan buat Malaysia sejak tahun-tahun 1070-an lagi dan beberapa kali kemudiannya, dengan yang terbaru pada tahun 2011.

Idea itu bagaimanapun tidak menerima banyak sokongan para wartawan, yang rata-rata menganggap bahawa MMC boleh dibangunkan hanya apabila Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dimansuhkan, sebagai isyarat awal kerajan komited kepada konsep pengawalan kendiri dan kebebasan media.

Dengan kerajaan Pakatan Rakyat menegaskan komitmen memansukan Akta itu dan menubuhkan badan kawalan kendiri, kini tiba masa bagi pihak-pihak yang berkepentingan dalam Majlis Media, termasuk para wartawan, editor, penerbit, dan orang awam, untuk bersatu; menurutnya kenyataan itu.

MMC adalah badan pengawalan kendiri yang boleh meletakkan standard tinggi buat komuniti media bagi membantu dalam membina dan mengekalkan amanah dalam industri itu, dan bertindak sebagai badan timbang tara antara orang awam dan media dalam menjaga kepentingan seluruh rakyat Malaysia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!