Projek impak tinggi bakal kukuh ekonomi, pelaburan Kedah
ALOR SETAR - Pelaksanaan projek berimpak tinggi bakal meletakkan Kedah di landasan yang betul ke arah pengukuhan sektor ekonomi dan pelaburan pada masa hadapan.
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, ia dapat dicapai menerusi projek yang dirancang seperti Kedah Rubber City; Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone merangkumi Kedah Science & Technology Park serta Kota Perdana, Sidam Logistics, Aerospace & Manufacturing Hub, Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Lebuh Raya Koridor Utara serta pembesaran Kulim Hi-Tech Park.
Baginda sukacita perancangan kerajaan membuahkan hasil apabila prestasi pelaburan Kedah bagi suku pertama tahun ini adalah yang terbaik dalam negara dengan jumlah pelaburan RM43 bilion.
“Tahniah beta ucapkan kepada pentadbiran negeri atas kejayaan merencanakan agenda ekonomi dan pelaburan.
"Selaras dengan prospek ekonomi negeri yang semakin pesat, beta menyeru jentera pentadbiran lebih bersedia,” titah Sultan Sallehuddin ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 secara sidang video pada Isnin.
Sultan Sallehuddin mahu agar semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Kedah ditransformasikan melalui penstrukturan lebih konstruktif dan telus kerana ia pendukung terpenting aspirasi pembangunan sosioekonomi dan pelaburan negeri.
“Penekanan harus diletakkan kepada perancangan strategik dan pelan perniagaan GLC yang lebih selari dengan ekonomi semasa.
"Dunia sedang berubah ke arah ekonomi lebih liberal dan terbuka. Sekiranya GLC masih terus bergantung kepada projek dan ihsan kerajaan, beta berpandangan ia tidak berdaya maju dan mampan,” titah baginda.
Sehubungan itu, baginda berharap individu yang berwibawa dan berwawasan dengan memiliki kepakaran, pengalaman serta pengetahuan luas perlu dijadikan merit pelantikan kepimpinan tertinggi sesebuah GLC.
Sultan Sallehuddin bertitah, Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang dirangka dengan kerjasama pelbagai pihak telah mula dilaksanakan.
Sehubungan itu, baginda berharap perancangan pembangunan dirancang secara tersusun berdasarkan fakta dan angka, selain perlu melihat kepada matlamat besar dan tempoh yang panjang agar tumpuan tidak dibazirkan dengan pelaksanaan projek yang tidak terarah.
“Beta perkenan agar Pelan Pembangunan Kedah 2035 didukung semua pihak sama ada dalam pentadbiran kerajaan negeri mahupun Persekutuan serta pihak berkaitan untuk dilaksanakan bagi tempoh 15 tahun bermula tahun ini hingga 2035," titah baginda.
Berkaitan aspek pelancongan, Sultan Sallehuddin sukacita apabila Pulau Langkawi dipilih sebagai destinasi perintis program gelembung pelancongan.
“Walaupun inisiatif ini diberikan kepada pelancong tempatan lengkap divaksin, beta yakin inisiatif ini akan menjadi perintis kepada pembukaan lebih banyak aktiviti pelancongan di Kedah. Kerjasama dan persediaan rapi diperlukan bagi menjayakan program ini, kemudahan sedia ada perlu ditambah baik,” titah baginda.
Baginda berharap usaha ini bukan hanya dikhususkan kepada Langkawi, bahkan diperluaskan ke destinasi pelancongan di tanah besar Kedah sebagai persediaan pembukaan secara menyeluruh.
“Langkah kerajaan mendapatkan pengiktirafan Langkawi sebagai UNESCO Global Geopark dan Gunung Jerai sebagai Geopark Kebangsaan menambah nilai kepada sumber alam. Usaha ini perlu diteruskan agar khazanah alam terpelihara dan ditambah dengan nilai ekonomi,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin turut sukacita apabila kerajaan negeri merancang merealisasikan sebahagian kawasan tadahan air Ulu Muda sebagai Taman Negeri dan membangunkan Langkawi sebagai pulau rendah karbon.
“Untuk melaksanakan usaha ini, koordinasi yang cekap antara pelbagai jabatan dan agensi diperlukan. Gerakkan koordinasi ini secara terpimpin,” titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!