Ibu buntu cari kos rawatan anak

Muhammad Iqmal terlantar di HSB.
Muhammad Iqmal terlantar di HSB.
A
A
A

YAN- Seorang ibu runsing memikirkan wang keperluan untuk membeli ubat kanser anaknya yang bernilai RM50,000 masih belum mencukupi.

Hamiza Abdul Rahman, 42, berkata, dia memerlukan RM10,000 sahaja lagi bagi membolehkannya membeli ubat yang disaran doktor.

Menurutnya, anaknya, Muhammad Iqmal Mahazir, 19, menghidap kanser darah jenis limfoma hogdkins tahap empat sejak April tahun lalu.

"Anak saya kini semakin lemah dan tak ada selera makan menyebabkan dia tak dapat bergerak hingga banyak menghabiskan masa di dalam bilik tidur di rumahnya di Kampung Titi Serong, Yan," katanya.

"Saya susah hati lihat keadaan anak dan terus ambil keputusan untuk hantar dia ke hospital berdekatan," katanya.

Hamiza berkata, anaknya pernah menjalani pembedahan sumsum tulang di Hospital Ampang, Kuala Lumpur tetapi gagal.

Menurutnya, dia bimbang keadaan kesihatan anaknya makin merosot dan hanya makan buah dalam kuantiti sedikit saja kerana tiada selera makan.

Katanya, mereka mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, namun ia tidak mencukupi kerana perlu mengumpul wang untuk membeli ubat dan kos berulang-alik ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Artikel Berkaitan:

“Jika cukup jumlah RM50,000 itu, doktor meminta saya menghubunginya kerana bekalan ubat sudah ada, cuma kos agak tinggi untuk membayar ubat berkenaan.

“Kos itu merangkumi 18 dos ubat iaitu setiap satu dos mampu bertahan hanya tiga minggu dan fungsi ubat itu bagi mengelakkan kanser itu merebak ke seluruh badan,” katanya.

Hamiza berkata, lebih membimbangkan apabila bahagian bahu kiri anaknya membengkak akibat sel kanser yang sudah merebak. Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh hubungi 017-5981506 atau akaun 7045847175 (CIMB) Hamiza.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!