LZS sumbang RM1 juta bantu institusi perubatan

Saipolyazan (kanan) menyerahkan mok cek kepada Sha'ari (dua dari kiri) sebagai simbolik penyerahan sumbangan itu. - Foto ihsan Facebook LZS
Saipolyazan (kanan) menyerahkan mok cek kepada Sha'ari (dua dari kiri) sebagai simbolik penyerahan sumbangan itu. - Foto ihsan Facebook LZS
A
A
A

SERDANG - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan wang pengurusan operasi amil berjumlah RM1 juta secara keseluruhan bagi membantu institusi perubatan awam dan petugas barisan hadapan di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Saipolyazan M. Yusop berkata, pemberian sumbangan yang diperuntukkan di bawah salah satu inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli itu adalah tanda sokongan dan keprihatinan amil zakat di negeri ini bagi membantu persediaan insititusi perubatan dalam melawan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, menerusi pemberian itu, setiap hospital di negeri ini akan menerima sumbangan antara RM30,000 sehingga RM100,000 bergantung kepada keperluan masing-masing.

"Ia akan digunakan bagi pembelian keperluan melawan Covid-19 seperti katil, alat bantuan pernafasan, tong oksigen dan sebagainya," katanya dalam Majlis Serahan Sumbangan Zakat Selangor Peduli kepada petugas barisan hadapan di Hospital Serdang pada Isnin.

Hadir sama sewaktu majlis penyerahan berkenaan adalah Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Menerusi majlis itu, LZS turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM800,000 kepada Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) manakala Hospital Shah Alam serta Hospital Banting masing-masing menerima sumbangan RM50,000.

Selain itu, Hospital Kuala Kubu Bharu, Hospital Tanjong Karang dan Hospital Sabak Bernam pula masing-masing menerima sumbangan RM30,000 daripada LZS.

LZS pada Julai lalu mengumumkan peruntukan berjumlah RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 43 institusi di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!