Malaysia bantah tindakan AS gabung Konsulat General di Baitulmaqdis
KUALA LUMPUR - Malaysia menentang keras tindakan Amerika Syarikat menggabungkan Konsulat General dengan kedutaannya di Baitulmaqdis.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata tindakan yang berkuatkuasa 4 Mac itu adalah langkah yang malang terbaru yang diambil oleh Amerika terhadap Palestin dan rakyatnya.
"Langkah ini bukan saja membangkitkan persoalan mengenai kredibiliti Amerika sebagai ‘pengantara’ dalam konflik Israel-Palestin, tapi juga soal objektif sebenarnya di Timur Tengah.
“Walaupun Amerika berkata penggabungan itu adalah sebagai meningkatkan kecekapan birokratik, Malaysia berpandangan ia hanyalah helah dalam usaha menyembunyikan maksud sebenar tindakan membuka Kedutaan Amerika di Baitulmaqdis,” katanya.
Menurut kenyataan itu langkah berkenaan akan memusnahkan rancangan penyelesaian dua negara yang mendapat sokongan majoriti komuniti antarabangsa.
“Malaysia akan terus membantah sebarang tindakan yang akan merosakkan usaha mencari keadilan dan keamanan yang berpanjangan kepada konflik itu,” menurutnya.
"Malaysia ingin mengulangi pandangan kukuhnya bahawa penyelesaian terbaik kepada konflik yang sudah berlarutan sejak sekian lama itu adalah menerusi penyelesaian dua negara, berdasarkan kepada persempadanan pra-1967 di mana Palestin dan Israel hidup berjiran secara aman, dengan Baitulmaqdis sebagai ibunegara Palestin,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!