Kedah kenal pasti GLC yang perlu dirombak

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah sudah mengenal pasti beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang perlu dibuat penstrukturan semula susulan tidak membawa keuntungan atau menyumbang kepada pendapatan negeri.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rombakan tersebut akan dilakukan dengan segera bersesuaian dengan langkah mentransformasikan GLC Kedah melalui penstrukturan lebih konstruktif dan telus.

Beliau berkata, sekiranya masih gagal menjana pendapatan selepas penambahbaikan, pihaknya akan mempertimbangkan untuk menutup operasi GLC terbabit.

“Diharapkan selepas rombakan dibuat, GLC mula menyumbang kepada hasil pendapatan negeri pada tahun depan. Sudah berkali-kali saya mengingatkan GLC agar keluar dari zon selesa untuk melebarkan perniagaan mereka di luar Kedah.

"Mereka tidak boleh lagi mengharapkan kepada projek kerajaan negeri semata-mata kerana ia sebuah entiti dan perlu mencari pendapatan masuk ke Kedah,” katanya ketika sidang akhbar selepas perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 secara sidang video pada Isnin.

Menerusi titah Sultan Sallehuddin, baginda mahu semua GLC di Kedah ditransformasikan melalui penstrukturan lebih konstruktif dan telus kerana ia pendukung terpenting aspirasi pembangunan sosioekonomi dan pelaburan negeri.

Baginda juga mahu penekanan diberikan kepada perancangan strategik dan pelan perniagaan lebih selari dengan iklim ekonomi semasa, selain melantik kepimpinan tertinggi GLC berdasarkan kepada merit kelayakan.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya mahu GLC diterajui individu yang memiliki mentaliti seorang ahli perniagaan dan bukannya dibelenggu pemikiran sebagai penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

“Kepimpinan tertinggi GLC sama ada pengurusan atau ahli lembaga pengarah akan dinilai semula mengikut pendekatan bersesuaian. Matlamat mereka adalah untuk menjana pendapatan. Kalau mereka tetap selesa sama ada untung atau tidak sebab ada kerajaan negeri bantu, persepsi itu perlu diubah segera,” katanya.

Mengulas sama ada kepimpinan GLC masih dibayangi elemen politik, beliau berkata, pihaknya tidak melakukan sebarang pertukaran pengurusan sejak mengambil alih pentadbiran negeri lebih setahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!