Bekas staf kerajaan didakwa seludup warga Indonesia
KUALA LUMPUR - Bekas kakitangan kerajaan berstatus kontrak dan seorang kenalan wanitanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menyeludup tujuh warga Indonesia.
Jafperi Noor, 54, dan Rohani, 49, warga Indonesia masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mereka didakwa bersama-sama telah menjalankan penyeludupan migran terhadap enam lelaki dan seorang wanita kesemuanya berumur antara 24 hingga 51 tahun di sebuah kuarters penjawat awam di Jalan Kasturi P17 (Jalan P17), Presint 17 di Putrajaya pada 10.15 malam, 22 Jun lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum di bawah akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Imigresen Malaysia Nor’ Amalina Ismail tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Peguam Farhan Maarof yang mewakili Jafperi memohon jaminan atas alasan tertuduh telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.
“Anak guam saya kini pengusaha kedai runcit di Kelantan dan merupakan bapa kepada empat anak berusia 19 hingga 29 tahun. Anak guam saya juga tidak akan mengganggu mana-mana saksi di dalam kes ini,” kata peguam itu.
Sementara itu, peguam K.Vijeyini yang mewakili Rohani,tidak membuat sebarang permohonan berhubung jaminan.
Mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung jaminan dan menetapkan 14 Oktober depan untuk sebutan semula kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!