Kemarau jejas paras air sungai di Kelantan

Penduduk dari luar Pasir Mas dan beberapa kampung dari selatan Thailand turut mengambil kesempatan untuk berkelah bersama keluarga di kawasan tersebut. - Foto Bernama
Penduduk dari luar Pasir Mas dan beberapa kampung dari selatan Thailand turut mengambil kesempatan untuk berkelah bersama keluarga di kawasan tersebut. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Cuaca panas berterusan di Kelantan menyebabkan bacaan paras air di kebanyakan sungai utama dalam negeri kian menyusut termasuk di Sungai Golok dekat Rantau Panjang, Pasir Mas.

Berdasarkan laman web JPS Kelantan pada pukul 2.00 petang hari ini paras air di Sungai Golok kian susut ke paras 3.55 meter berbanding aras normal iaitu 5 meter, Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah pula 7.31 meter (normal 10 meter) manakala Sungai Kelantan di Air Mulih, Pasir Mas 1.53 meter (normal 4 meter).

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi berkata keadaan di Empangan Bukit Kwong dekat Rantau Panjang juga terus menunjukkan trend penurunan di mana air terpaksa dilepaskan secara berkala bagi tujuan pertanian.

Katanya sejak Januari lalu parasnya sudah menurun hampir dua meter iaitu kepada bacaan di 14.73 meter setakat pukul 3.00 petang hari ini berbanding purata 16 meter bacaan pada Januari lepas.

Difahamkan, bacaan paras normal di empangan berkeluasan 11 kilometer persegi itu adalah 16.76 meter dan ia kemungkinan berdepan risiko ditutup sekiranya mencatat bacaan 12.25 meter.

Sementara itu laman web Jabatan Meteorologi Malaysia pula menunjukkan suhu maksimun di Kelantan ini adalah 33 darjah celsius. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!