'Terima kasih doakan, beri sokongan kepada saya'

Iskandar Zulkarnain Foto: FB Iskandar Zulkarnain Zainuddin
Iskandar Zulkarnain Foto: FB Iskandar Zulkarnain Zainuddin
A
A
A

PEMAIN badminton perseorangan lelaki profesional negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin menyasarkan untuk mengembangkan kariernya di benua Eropah setelah menerima menerima tawaran bagi sebagai tenaga kejurulatihan skuad badminton kebangsaan Ireland.

Menurut pemain berusia 30 tahun itu, dia dikehendaki untuk mengendalikan latihan bagi pemain-pemain perseorangan selama tiga bulan berdasarkan tawaran berkenaan.

Justeru katanya, tempoh tiga bulan itu akan dimanfaatkan sebaiknya dengan harapan agar ditawarkan tempoh lanjutan untuk melatih skuad kebangsaan badminton negara berkenaan.

“Sebenarnya sebelum ini saya ke Ireland untuk menjadi rakan sepelatih (sparring partner) dengan pemain perseorangan lelaki mereka Nhat Nguyen, sebagai persediaan untuk ke Olimpik Tokyo 2020.

“Bila kita buat komitmen bagus, jadi mereka seterusnya menawarkan saya untuk menjadi jurulatih kepada pemain perseorangan skuad kebangsaan bagi tempoh tiga bulan, mulai Oktober hingga Disember nanti.

“Bagaimanapun, saya ada bercakap dengan mereka bahawa saya masih bermain. Mereka setuju dan mahu melihat program latihan dahulu dan jika mereka gembira program berkenaan, saya harap khidmat saya disambung tahun depan pula,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Iskandar Zulkarnain dijadualkan berlepas ke Ireland minggu depan bagi memulakan tugas jurulatih pemain perseorangan negara tersebut sebagai persiapan menyertai Kejuaraan Dunia pada hujung tahun ini.

“Satu perjalanan karier yang baru. Sebagai pemain dan jurulatih dalam satu masa adalah sesuatu yang sukar tapi saya terima kesukaran itu sebagai satu cabaran dalam karier saya. Terima kasih yang mendoakan dan memberi kata-kata sokongan kepada saya,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, miliknya pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan tawaran diterima Iskandar Zulkarnain sebagai satu perkembangan yang baik.

Malah katanya, sudah ramai jurulatih dari negara ini yang berkhidmat di luar negara seperti di Jepun dan di beberapa negara lain.

“Bagi kita, kita menyokong dan mengalu-alukannya kerana bagi saya ia satu perkembangan yang baik untuk Iskandar Zulkarnain menimba pengalaman.

“Selain itu, ia satu perkembangan yang baik untuk kita ‘eksport’ kepakaran yang kita miliki ke negara-negara luar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!