Malaysia lengkapkan ratifikasi RCEP Disember ini
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia memberikan komitmen untuk melengkapkan proses ratifikasi Perkongsian Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) pada pertengahan Disember ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, proses tersebut memerlukan negara untuk melakukan pindaan ke atas tiga akta yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
Katanya, ia bagi memastikan akta berkenaan sejajar dengan obligasi negara yang berada di bawah perjanjian tersebut.
“Dalam hal ini, MIT telah dimaklumkan oleh KPDNHEP bahawa draf pindaan akta-akta tersebut sedang diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) mengenai status terkini RCEP di Parlimen pada Selasa.
Mohamed Azmin berkata, kesemua negara yang menyertai RCEP mengambil langkah domestik bagi meratifikasi perjanjian perdagangan itu mengikut lunas perundangan negara masing-masing.
Katanya, perjanjian perdagangan itu akan berkuatkuasa 60 hari setelah sekurang-kurangnya enam negara anggota ASEAN dan tiga negara rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) menyerahkan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat Asean.
Menurut beliau, mesyuarat Menteri Ekonomi Asean ke- 53 pada 9 September lalu menyasarkan perjanjian RCEP dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2022.
“Sehingga kini, negara-negara yang telah meratifikasi perjanjian adalah Singapura, China dan Jepun.
“Thailand telah melengkapkan proses ratifikasi domestik dan akan akan menghantar surat cara ratifikasi kepada sekretariat Asean pada hujung tahun ini manakala Myanmar telah pun menghantar surat cara berkenaan,” jelasnya.
Negara seperti Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja dan Vietnam telah pun memaklumkan hasrat untuk melengkapkan proses ratifikasi domestik menjelang November 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!