SelVax Bergerak diperluas di kawasan DUN
SHAH ALAM - Program Vaksinasi Selangor (SelVax) Bergerak mula dilaksanakan di pelbagai kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberikan suntikan vaksin kepada penduduk Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rakyat harus belajar untuk hidup bersama Covid-19 apabila pandemik tersebut menjadi endemik kelak.
Menurutnya, kerajaan Selangor kini mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai Covid-19 berbanding dua tahun lalu.
"Dalam meneruskan kehidupan dengan norma baharu, kita harus belajar untuk hidup bersama virus Covid-19 apabila pandemik ini menjadi endemik kelak.
"Menginsafi bahawa 'tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat', saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa SelVax Bergerak telah dimulakan di pelbagai DUN untuk memberi suntikan vaksin kepada penduduk di Selangor.
"Kerajaan negeri mengalu-alukan semua meliputi rakyat Malaysia dan juga bukan warganegara untuk turut serta dalam usaha imunisasi ini," katanya sempena perutusan Perayaan Kuih Bulan pada Selasa.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) turut berganding bahu dengan pembangkang di negeri tersebut untuk memerangi Covid-19.
Ujarnya, kesepakatan tersebut dicapai dengan mengetepikan perbezaan politik dan memberikan fokus sepenuhnya untuk menangani pandemik berkenaan.
"Kita juga dapat lihat bahawa konsensus yang dikemukakan oleh PH diperakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terdiri daripada pelbagai reformasi dalam institusi Parlimen yang bermanfaat bagi rakyat.
"Namun, konsensus antara parti pemerintah dan pembangkang yang dimeterai bukanlah untuk meninggalkan prinsip PH dan tanggungjawab semak dan imbang sebagai parti pembangkang.
"Sebaliknya, ia merupakan saat penting untuk kita mengetepikan perbezaan politik dan memberikan sepenuh fokus untuk memerangi wabak Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!