Akhbar minta maaf siar imej masjid tanpa menara
ALGIERS - Akhbar berbahasa Perancis di Algiers berdepan dengan kritikan pada Isnin kerana menyiarkan sebuah gambar yang tidak menunjukkan menara Masjid Agung di bandar raya itu.
Gambar itu juga mencetuskan kemarahan di media sosial dan para pegawai.
Kementerian Komunikasi mengutuk tindakan akhbar tersebut yang dianggap sebagai tidak wajar dilakukan.
Tindakan itu juga turut dikutuk oleh Kementerian Agama dan menyatakan akhbar El Watan perlu dihadapkan ke mahkamah berikutan penyiaran gambar tersebut.
Bagaimanapun, akhbar berkenaan meminta maaf di laman webnya dengan menyatakan ketiadaan menara tersebut adalah disebabkan oleh masalah teknikal.
Gambar Masjid Agung Algiers yang menunjukkan ketiadaan menara tersebut telah dipinda oleh pihak akhbar itu.
Ia disiarkan bagi menunjukkan perarakan pengebumian bekas Presiden Algeria, Abdelaziz Bouteflika pada Ahad lalu.
Masjid itu adalah yang ketiga terbesar di dunia selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Arab Saudi.
Ia merupakan masjid terbesar di Afrika dan mempunyai menara setinggi 267 meter. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!