Sindiket jual treler, lori curi tumpas

Antara treler dan lori yang dirampas dalam Ops Lejang Kasuarina pada Sabtu.
Antara treler dan lori yang dirampas dalam Ops Lejang Kasuarina pada Sabtu.
A
A
A

RAWANG - Satu sindiket menjual treler dan lori curi pada harga tidak masuk akal, tumpas dengan tertangkapnya tiga lelaki dalam siri tangkapan berasingan di bawah Ops Lejang Kasuarina pada Sabtu.

Sindiket itu dipercayai menyasarkan pemandu yang berhenti rehat di sekitar Lembah Klang sebelum membuang alat pengesan sistem kedudukan global (GPS) pada treler yang dicuri lalu mengubah suai nombor casis serta nombor pendaftaran untuk dijual kepada pihak ketiga.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu itu menjual treler dan lori yang dicuri berkenaan pada harga serendah RM7,000.

"Pihak sindiket menjual lori amat murah berbanding harga pasaran. Sebuah lori yang berharga sekitar RM70,000 ke RM100,000 dijual pada harga RM20,000 hingga RM30,000 sahaja.

"Kita mendapat maklumat daripada salah seorang pembeli yang curiga apabila transaksi penukaran hak milik pada geran kenderaan mengambil masa lama," katanya kepada media dalam sidang akhbar pada Selasa.

Peralatan yang digunakan untuk mengubah suai nombor casis dan nombor enjin.
Peralatan yang digunakan untuk mengubah suai nombor casis dan nombor enjin.

Artikel Berkaitan:

Abd Jalil berkata, suspek pertama yang berperanan sebagai pencuri lori ditahan di Pulau Lumut, Alam Budiman di Shah Alam dan hasil soal siasat dua lagi suspek berjaya ditahan di lokasi berasingan.

"Suspek kedua ditangkap berdasarkan maklumat yang diberikan suspek pertama di Jalan 1/3 Rawang Industri yang berperanan sebagai pembeli lori daripada suspek pertama.

"Suspek ketiga yang berperanan sebagai pencuri lori dan pembantu suspek pertama pula ditahan di nombor 31, Jalan Taman Sri Indah, Bestari Jaya," katanya.

Menurutnya, antara yang dirampas adalah 15 buah treler dan lori, sebuah forklif, serta dua buah bongkah enjin yang terdapat kesan ubah suai pada nombor casis dan nombor enjin.

Sebuah foklif dirampas di bengkel sindiket.
Sebuah foklif dirampas di bengkel sindiket.

"Sebuah lori yang mempunyai barang hantaran Shopee antara yang dirampas. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2.89 juta," katanya.

Abd Jalil berkata, kesemua suspek direman sehingga Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Abd Jalil menunjukkan sebuah lori yang dicuri penuh dengan muatan Shopee.
Abd Jalil menunjukkan sebuah lori yang dicuri penuh dengan muatan Shopee.

Sementara itu, menurutnya, pihak JSJ Bukit Aman sedang menyiasat sama ada terdapat penglibatan anggota dan pegawai jabatan yang berkenaan dalam menghalalkan status kenderaan curi terbabit.

"Pihak JSJ Bukit Aman sedang bekerjasama dengan Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) untuk mengenal pasti jika terdapat penglibatan sindiket dalam jabatan berkaitan dengan kegiatan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!