Media, ‘hero’ yang selalu tak didendang

Gambar kenangan yang kami rakamkan semasa bertugas dan sesudah selesai PRK Semenyih diadakan, Sabtu lalu. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Gambar kenangan yang kami rakamkan semasa bertugas dan sesudah selesai PRK Semenyih diadakan, Sabtu lalu. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SEBAIK tamat PRK DUN Semenyih bermakna sudah enam PRK berlaku di Malaysia sejak Malaysia ditadbir PH bermula 9 Mei lepas.

Bercerita perihal PRK, kesibukannya sangat luar biasa. Jentera parti dan calon bertanding tentu ‘pecah kepala’ merangka strategi terbaik buat calon mereka.

Pemimpin tertinggi parti pula sibuk merencana jadual agar mereka dapat ikut sama membantu kempen. Sekelip mata, semua mata tertumpu ke kawasan berlakunya PRK.

Dalam kesibukan itu, media baik wartawan, jurugambar, jurukamera, editor dan semua yang berkaitan turut terkena tempiasnya. Sebaik mengetahui PRK ‘mungkin’ berlaku, media sudah sibuk mencari maklumat.

Itu baru ‘mungkin’, dah terserlah kesibukannya. Hakikatnya, belum pun mula PRK, media sudah terasa bahangnya. Sebaik kempen bermula, berganda-ganda pula sibuknya.

Bahkan, selepas umum keputusan pun mata dan tangan mereka masih tertumpu kepada telefon bimbit dan komputer riba, menyiapkan laporan pula.

Ditambah dengan perkembangan teknologi sekarang, semua kena pantas. Umum keputusan 9.15 malam, kalau boleh 9.20 malam sudah terpapar beritanya di portal masing-masing.

Itu pun baru berita awal, berita penuh belum siap lagi dan selepasnya, ada banyak proses lagi. Kalau nak diceritakan, panjang sungguh artikel ini jadinya.

Artikel Berkaitan:

Dari hari pertama kempen, yang dipaparkan dalam akhbar, media sosial hanyalah calon-calon, pemimpin parti, jentera, penduduk setempat dan gambar-gambar menarik di kawasan berkenaan.

Media? Tiada, kerana kami hanya di belakang tabir. Mana yang kenal nama kami, mereka tahulah. Hanya nama biasanya terpapar, wajah jarang sekali namun tidak sedikit pun kami berkecil hati.

Bagi kami, apabila rakyat Malaysia membaca tulisan, melihat gambar dan menonton video kami, itu sudah cukup menggembirakan. Hilang sekejap penat apatah lagi jika hasil kerja kami tular dalam laman sosial.

Saban hari, kami berusaha sebaiknya, sepantasnya menyediakan berita terkini buat rakyat Malaysia namun jika ada sana-sini kekhilafan, maafkanlah kami.

Di kala anda sedang berehat-rehat bersama keluarga pada malam hari, kami masih bermandi keringat menyediakan berita untuk bacaan anda. Begitulah kehidupan kami hari-hari di Semenyih, Cameron Highlands, Port Dickson dan kawasan PRK lain.

Kepada semua rakan media, tahniah atas komitmen dan kecemerlangan anda. Kepada rakyat Malaysia, terima kasih kerana menyokong kami terus-terusan dari dulu sampai sekarang.

Sinar Harian sayang semua...

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!