Tanah rizab: Pihak kuil akan kosongkan tanah milik JHEAINS
SEREMBAN - Pihak kuil akan segera mengalihkan pondok kecil yang termasuk ke dalam tanah rizab milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di Taman Indah, Tampin dalam masa terdekat ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Repah, S Veerapan, beliau telah menghubungi pihak kuil dan mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan 88 meter persegi tanah rizab masjid yang 'diambil' oleh mereka itu.
"Pihak kuil telah memaklumkan, mereka secara tidak sengaja termasuk ke kawasan tanah milik JHEAINS semasa kerja-kerja membina pondok kecil di kawasan kuil itu.
"Mereka juga telah bersetuju untuk mengalihkan pondok tersebut daripada tanah rizab JHEAINS itu bagi memurnikan semula keadaan, tiada isu pun mereka mahu mengambil alih rizab masjid ini.
"Malah, saya juga telah dimaklumkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Tampin bahawa rizab tapak Masjid Taman Indah ini tetap kekal di situ, setelah ia diwartakan pada 19 Januari 2012, dan statusnya masih kekal sama sehingga kini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Tambah beliau, kuil yang telah berada di kawasan tersebut sejak lima dekad lalu dibina atas tanah rizab kerajaan berdekatan rizab masjid Taman Indah, namun sehingga kini tiada kerja-kerja pembinaan atau melebarkan rumah ibadah itu dilakukan.
Katanya, isu yang tular di media sosial itu dilakukan pihak luar dan bukan penduduk setempat di kawasan tersebut.
Mengulas lanjut katanya, satu kesepakatan telah pun dilakukan antara Pejabat ADUN bersama wakil jawatankuasa penduduk Taman Indah yang datang bertemunya pada 17 September lalu, bagi menyelesaikan isu berkenaan.
"Kita amat kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memfitnah atas dakwaan pengambilan tanah rizab masjid, sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku.
"Saya tegaskan, tiada sebarang kerja pembinaan kuil di lakukan dekat tanah rizab masjid tersebut, dan tanah yang diambil secara tidak sengaja itu akan dikosongkan semula bagi memastikan tanah milik JHEAINS itu dikembalikan,"katanya.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri menafikan memberi kebenaran terhadap cadangan pembinaan kuil, di atas tanah milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di Taman Indah Tampin, yang tular di media sosial dua hari lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada pengambilan tapak masjid untuk kuil: Aminuddin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!