Jangan pacak khemah sekitar pantai Port Dickson
PORT DICKSON - Pengusaha khemah di sekitar Pantai Port Dickson (PD) dinasihatkan tidak memacak khemah sewaan mereka terlebih dahulu bagi memberi peluang kepada pengunjung bersantai.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa berkata, pihaknya menerima aduan daripada pengunjung pantai yang terganggu dengan pengusaha khemah.
"Kita menerima aduan dan rungutan daripada pengunjung pantai yang diganggu pengusaha khemah meminta mereka berpindah dan mengalihkan barang semata-mata untuk memacak khemah berkenaan.
"Aduan diterima di sekitar Pantai Cermin. Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan jika pengusaha masih ingkar," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Katanya, pada Jun 2020, kerajaan negeri telah menetapkan bahawa khemah tersebut hanya boleh dipasang jika ada pengguna yang ingin menyewa.
Jelasnya, pengusaha tidak boleh memacak khemah mereka sesuka hati bagi memastikan kawasan sekitar pantai kelihatan kemas, bersih dan teratur.
"Jika ada pengguna yang mahu sewa khemah, barulah pengusaha pacakkan khemah mereka dan kemudian simpan semula selepas digunakan bagi memastikan pengunjung pantai lebih selesa dan dapat beriadah dengan cara mereka sendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!