'Jual 60 sen secucuk tetap untung'

Mohd Nasir sibuk menyiapkan tempahan pelanggan.
Mohd Nasir sibuk menyiapkan tempahan pelanggan.
A
A
A

PONTIAN - Aroma bau sate yang dibakar di atas arang pasti membuatkan sesiapa sahaja terliur lebih-lebih lagi dijual hanya 60 sen secucuk.

Harga rendah itu sememangnya sukar dipercayai, namun bagi peniaga Mohd Nasir Khaidir, 44, dia tetap memperoleh keuntungan dengan menjual sate 60 sen biarpun kebanyakan peniaga menjual secucuk sate 90 sen atau 1 ringgit secucuk pada masa kini.

Mohd Nasir yang mewarisi perniagaan menjual sate dari bapanya Khaidir Salleh, 73, tidak menang tangan menyiapkan sate setiap kali dia berniaga bersama adiknya, Suhairi, 35, di pasar malam sekitar Benut, Pekan Parit Betak, Simpang Enam Senggarang dan Bukit Batu.

Katanya, dia dapat menjual lebih 1,500 cucuk sate pada hari biasa ketika berniaga di pasar malam bermula seawal jam 4 petang.

“Harga murah orang ramai pasti akan datang beli. Tetapi bukan harga sahaja kena murah, kualiti sate pun kena jaga.

“Sate daging dan ayam kena lembut dan sedap rasanya. Begitu juga dengan kuah kacang, kalau tiada kuah kacang yang sedap, tidak umphh makan sate,” katanya.

Menurut Mohd Nasir, sate ayam dan daging yang dijual dibuat sendiri di rumah ayahnya di Kampung Lubok Sipat Benut.

“Semuanya kami buat sendiri. Bermula dari memotong daging dan ayam sehinggalah kepada menyiapkan bahan perapan sate.

Artikel Berkaitan:

“Lepas siap, kami akan bawa sate untuk dijual di tapak pasar malam. Buat masa sekarang kami tidak pembantu semuanya adik-beradik yang buat,” katanya.

20 tahun berniaga sate

Perniagaan sate diusahakan Mohd Nasir turut dikenali sebagai Sate Warisan dan Wak Satay.

Mohd Nasir berkata, ayahnya, Khaidir Salleh merupakan peniaga lama sate di Benut yang menjual sate dengan harga murah.

“Lebih 20 tahun perniagaan sate ini diusahakan sejak dari ayah lagi. Saya mewarisi perniagaan ini dan meneruskan perniagaan sate murah,” katanya.

Katanya, kenaikan harga barang menyebabkan dia terpaksa menaikkan harga sate dari 50 sen kepada 60 sen dua tahun lalu.

“Harga naik 10 sen sahaja, sebolehnya tidak mahu pelanggan terbeban. Itu pun masih ramai yang beritahu harga sate kami murah,” katanya.

Permintaan terhadap sate akan meningkat sewaktu musim cuti persekolahan atau hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Pelanggan gembira

Tindakan Mohd Nasir menjual secucuk sate dengan harga 60 sen sewajarnya menjadi contoh kepada peniaga dalam usaha membantu mengurangkan bebanan kos hidup masyarakat dalam keadaan kos sara meningkat pada masa kini.

Rata-rata pelanggan yang ditemui menyatakan mereka sukar menemui sate pada harga murah dengan kualiti yang cukup baik.

Pelanggan, Mohd Faiz Syafik, 34, yang tinggal di Pekan Parit Betak mengakui sate dijual Mohd Nasir cukup enak.

“Walaupun dijual dengan harga 60 sen, tetapi saiznya tidak kecil. Saya puas hati membeli sate dijual Mohd Nasir.

“Sate 60 sen boleh menjadi tarikan Pontian yang terkenal dengan pelbagai makanan tradisi orang Jawa dan Bugis di samping keenakan asam pedas dan makanan laut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!