Lebih 15,000 pelajar di Negeri Sembilan terima vaksin Covid-19
KUALA PILAH - Seramai 15,895 pelajar sekolah berusia 16 hingga 18 tahun di seluruh Negeri Sembilan akan menerima vaksin Covid-19 masing-masing secara berperingkat bermula Selasa.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Md Fiah Md Jamin berkata, sebanyak 44 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri terbabit dalam proses vaksinasi tersebut yang kebanyakannya menggunakan dewan sekolah.
"Pemberian vaksin ini memberi fokus kepada pelajar Tingkatan Empat hingga Enam dan dijangka selesai untuk dua dos pada awal Oktober.
"Terima kasih kepada ibu ayah yang memberi sokongan untuk anak-anak divaksin kerana ini akan memudahkan kita melakukan proses pembelajaran dan pengajaran selepas ini, malah anak-anak juga dilihat tidak sabar untuk kembali semula ke sekolah," katanya pada sidang akhbar selepas selesai membuat tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Dato' Bahaman Shamsudin di sini pada Selasa.
Sementara itu, pelajar yang ditemui ketika program imunisasi berlangsung melahirkan rasa teruja apabila mereka kini dibenarkan untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Ainul Nadihah Zulkifli, 16, daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za'ba di sini berkata, pemberian vaksin itu merupakan saat yang ditunggu-tunggu.
Katanya, selama ini dia hanya mendengar pelbagai berita serta membaca di media sosial mengenai vaksin dan kini dia berpeluang merasai sendiri pengalaman tersebut.
"Sejak kerajaan membuat pengumuman vaksin akan mula diberikan kepada pelajar, topik mengenai vaksinasi menjadi hangat dalam kalangan rakan sekolah di kumpulan WhatsApp dan media sosial," katanya.
Ainul Nadihah berkata, proses pembelajaran juga akan menjadi lebih mudah apabila pelajar dibenarkan ke sekolah selepas mengambil vaksin.
"Ketika ini kami belajar menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang mana ia agak sukar kerana perlu menggunakan komputer dan memerlukan capaian internet yang baik. Tidak semua pelajar mempunyai kemudahan itu," katanya.
Seorang lagi pelajar, Muhammad Afiq Zaharudin, 17, juga dari SMK Za'ba berkata, proses vaksinasi terhadap pelajar terutama membabitkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah usaha positif daripada kerajaan.
"Saya berasa lega, malah gembira apabila berjaya mendapatkan vaksin pada hari ini. Saya tidak sabar untuk kembali ke sekolah seperti sebelum ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!