Azhar akui tukar fikiran saat akhir, nafi terima tekanan

Azhar Azizan Harun - Foto Bernama
Azhar Azizan Harun - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menolak dakwaan bahawa beliau menerima tekanan daripada seorang ‘menteri kanan’ supaya tidak membenarkan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) mempengerusikan sidang Dewan Rakyat untuk sesi petang Isnin.

Beliau menjelaskan, keputusan membatalkan Kor Ming daripada mempengerusikan Dewan Rakyat dibuat pada saat akhir tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Saya memang bagi Kor Ming (Teluk Intan) pengerusikan Dewan Rakyat semalam tetapi saya tukar (fikiran) saat akhir.

“Saya tidak didorong atau ditekan untuk tukar fikiran. Saya guna kuasa saya untuk tukar fikiran. Tiada terima panggilan,” katanya di Dewan Rakyat menjawab pertanyaan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) pada Selasa.

Gobind sebelum itu meminta Azhar menjelaskan adakah benar Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meminta beliau membatalkan keputusan untuk menjemput Kor Ming mempengerusikan Dewan Rakyat pada sesi petang Isnin.

Ia rentetan kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat bagi sesi pagi Selasa apabila Azmin ‘diserang’ oleh wakil rakyat DAP gara-gara dakwaan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dewan Rakyat kecoh, Azmin 'diserang' wakil rakyat DAP

Pada Isnin, sebuah akhbar Cina melaporkan Kor Ming diundang secara bertulis oleh Azhar untuk mempengerusikan sidang itu pada sebelah petang Isnin namun mendakwa seorang ‘menteri kanan kabinet’ bertindak menghalangnya daripada ia berlaku.

Artikel Berkaitan:

Laporan itu mendakwa keputusan berkenaan ditarik balik kerana wujud ‘tekanan’ daripada ‘menteri kanan kabinet’ tersebut yang menghubungi speaker pada jam 1.50 petang Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!