PKPD: 200kg ikan kembung diagih kepada penduduk orang asli
TEMERLOH - Sebanyak 200 kilogram (kg) ikan kembung diagihkan secara percuma kepada penduduk orang asli di Paya Mengkuang di sini pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin berkata, agihan sumbangan itu membabitkan seramai 198 ketua isi rumah di perkampungan tersebut yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 17 hingga 30 September ini.
Menurutnya, setiap isi rumah menerima kira-kira sekilogram setengah ikan berkenaan.
"Ini adalah antara sumbangan yang disalurkan kepada penduduk sejak PKPD dilaksanakan di perkampungan tersebut. Sebelum ini, penduduk kampung terbabit juga sudah diberikan sumbangan kotak makanan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, beberapa sumbangan lain juga akan diagihkan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan kira-kira 750 penduduk di perkampungan tersebut.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para dermawan yang turut membantu memberi sumbangan kepada penduduk di sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!