Lapan pegawai, anggota bomba Perak positif Covid-19
IPOH - Seramai lapan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak disahkan positif Covid-19 setakat Selasa.
Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, jumlah itu melibatkan empat kes di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, BBP Tapah (2) dan masing-masing satu kes di BBP Kamunting dan Ipoh.
Menurutnya, mereka yang dijangkiti itu berada dalam kategori satu dan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.
"Dalam tempoh sama, seramai 25 warga JBPM dari sembilan balai dan ibu pejabat turut menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.
"Mereka berstatus individu dalam siasatan (PUI) atau individu dalam pengawasan (PUS)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JBPM Perak di Meru Raya di sini.
Azmi berkata, jumlah tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan pengoperasian balai yang terlibat.
Katanya, sebuah pasukan tindakan ditubuhkan bagi mengenakan tindakan tegas terhadap anggota yang tidak patuh prosedur operasi standard (SOP).
"Kita menekankan supaya warga bomba sentiasa mengamalkan SOP dan pasukan ini ditubuhkan sekiranya ada pegawai atau anggota yang tidak patuh, tindakan tunjuk sebab akan dikeluarkan kepada mereka.
"Kita mahu anggota sentiasa sihat dan mempunyai fizikal mantap dalam menghadapi sebarang bencana," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!